Antara Doktor Lelaki Muslim, dan Doktor Wanita Kafir, Yang Manakah Perlu Diutamakan?

0
86

Aurat ialah bahagian yang menjadi aib pada tubuh badan yang wajib ditutup dan haram dilihat oleh orang lain.

Memakai pakaian yang menutup aurat ketika mengerjakan solat menjadi syarat solat diterima oleh Allah SWT.

Bagi lelaki, aurat yang wajib ditutup ialah kawasan di antara pusat dan lutut.

Aurat perempuan pula meliputi seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan.

Namun, bagaimana pula halnya bagi keadaan-keadaan kecemasan seperti bersalin, atau melakukan pembedahan?

Menurut Dr Zulkifli Al-Bakri, antara bentuk pengecualian ialah rawatan al-faṣdu (venesection, venipuncture, phlebotomy), berbekam, dan rawatan am. Ini kerana jika diharamkan akan mendatangkan ḥaraj (kesukaran) sedangkan ḥaraj dihilangkan oleh Syarak. Justeru, boleh bagi seorang lelaki merawat wanita dan wanita merawat lelaki.

Begitu juga, hal ini bertepatan dengan kaedah :

الضرورات تبيــح المحــظورات

Maksudnya : “Mudarat mengharuskan yang haram”

Tiada khilaf dalam kalangan ulama berkenaan keharusan seorang doktor melihat aurat pesakitnya ketika merawat, sekiranya ada keperluan mendesak sebagaimana syarat-syarat yang telah digariskan oleh Syarak seperti ditemani oleh mahram, suami atau wanita yang tsiqah (terpercaya), tidak boleh berdua-duaan yang berlainan jantina antara pesakit dan perawat dan lain-lain.

Kaedah ini juga mestilah diikat dengan kaedah yang lain iaitu :

الضرورات تقدر بقدرها

Maksudnya : “Mudarat (hanya diambil) cukup sekadar yang perlu sahaja”

Maka, seorang doktor hanya boleh melihat aurat pesakitnya atau memegang atau lain-lain ketika ada keperluan mendesak, bagi merawatnya serta menolak kemudaratan. Perbuatan tersebut hanya dibenarkan setakat yang perlu sahaja dan tidak boleh lebih daripada itu. Contohnya, sekiranya bagi merawat pesakit cukup dengan hanya mendedahkan pehanya, maka tidak boleh membuka auratnya sehingga lebih daripada itu atau sekiranya cukup dapat dikenalpasti sakitnya hanya dengan memegangnya secara berlapik, maka tidak boleh memegangnya tanpa berlapik dan lain-lain.

Termasuk juga di dalam perkara ini ialah mengutamakan doktor lelaki bagi pesakit lelaki, doktor perempuan bagi pesakit perempuan kerana ini lebih selamat dan jauh daripada fitnah. Manakala ketika perlu melihat kepada aurat pesakit perempuan utamakan dahulu doktor perempuan muslim, kemudian barulah doktor perempuan bukan muslim, kemudian doktor lelaki muslim dan akhir sekali barulah doktor lelaki bukan muslim. Dan kalau sekiranya tiada keperluan dan cukup hanya dengan doktor perempuan muslim (bukan pakar), tidak boleh menyingkap aurat pesakit perempuan tadi di hadapan doktor lelaki sekalipun dia adalah doktor pakar (bagi sakit berkenaan).

JAKIM juga telah mengeluarkan satu garis panduan berkenaan etika bagi menjaga aurat mayat ketika bedah siasat yang mana merujuk kepada keputusan Persidangan Majma’ al-Fiqh al-Islami (IslamicFiqh Academic) di Brunei Darussalam pada 21-27 Jun 1993 mengenai wanita yang ingin mendapatkan rawatan perlu mengikut keutamaan berikut ;

  1. Doktor perempuan muslim pakar.
  2. Doktor perempuan bukan muslim pakar.
  3. Doktor lelaki muslim pakar.
  4. Doktor lelaki bukan muslim pakar. Islam mengharuskan rawatan lelaki terhadap perempuan dan sebaliknya dengan syarat-syarat seperti berikut ;
  • Tidak bersendirian
  • Menahan pandangan mata
  • Menyentuh di tempat yang berkaitan
  • Menyediakan doktor pakar mengikut jantina

Kesimpulannya,

  • Sekiranya pesakit adalah seorang wanita, keutamaan hendaklah diberikan terlebih dahulu kepada doktor wanita muslimah, kemudian kepada doktor wanita kafir, kemudian kepada doktor lelaki muslim dan akhir sekali barulah kepada doktor lelaki kafir. Hal ini kerana (keadaan terpaksa) melihat aurat daripada jantina yang sama adalah lebih ringan (selamat).
  • Daripada segi psikologi, seorang pesakit wanita akan lebih senang dan berasa selamat sekiranya doktor yang akan merawatnya adalah daripada jantina yang sama. Begitulah juga sebaliknya, jika pesakit seorang lelaki. Hal ini kerana kita tidak dapat menafikan bahawa wanita akan lebih mengetahui perkara-perkara berkaitan kewanitaan daripada lelaki dan lelaki akan lebih mengetahui perkara-perkara berkaitan kelakian berbanding seorang wanita.
  • Seorang doktor boleh melihat aurat pesakitnya atau memegang atau lain-lain ketika ada keperluan bagi merawatnya serta menolak kemudaratan dan perbuatan tersebut hanya dibenarkan setakat yang perlu sahaja dan tidak boleh lebih daripada itu.
  • Pengawalan dan penjagaan aurat adalah amat penting tetapi dalam keadaan tertentu, jika sesama jantina sekalipun bukan Islam maka ia adalah harus dengan syarat tidak membawa fitnah dan menjatuhkan maruah orang Islam. Ini kerana keadaan realiti kehidupan kini begitu berbeza dengan zaman dahulu. Justeru, meraikan keadaan semasa yang bersifat realiti perlulah diambilkira

–Mufti Wilayah Persekutuan

496 total views, 4 views today

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here