Bolehkah Memberi Salam Sebelah Kanan Dua Kali Kerana Ingin Membetulkan Bacaan Salam Yang Pertama?

0
60

Solat yang sah dan sempurna adalah yang memenuhi rukun-rukun serta syarat-syaratnya. Rukun adalah bahagian yang asas bagi sesuatu perkara. Contohnya dinding bagi sesebuah bilik. Oleh itu bahagian-bahagian solat adalah rukun-rukunnya. Solat tidak akan sempurna dan tidak sah kecuali dengan menyempurnakan kesemua bahagiannya mengikut cara dan susun atur yang datang daripada Rasulullah SAW sebagaimana yang diterimanya daripada Jibril AS. Semua rukun solat dapat kita rumuskan kepada 13 perkara. [Lihat : al-Fiqh al-Manhaji (1/141)]

Rukun-rukun ini juga boleh kita pecahkan kepada 4 bahagian iaitu :

  1. Rukun Qauliyyah : Ianya ada 5 iaitu takbiratul ihram, bacaan surah al-Fatihah, bacaan tasyahhud akhir, selawat ke atas Nabi SAW serta ke atas keluarga baginda, dan memberi salam.
  2. Rukun Fi’liyyah : Ianya ada 6 iaitu berdiri, ruku’, I’tidal, sujud, duduk antara dua sujud dan duduk tasyahhud akhir.
  3. Rukun Ma’nawiyyah : Hanya ada satu iaitu tertib.
  4. Rukun Qalbiyyah : Hanya ada satu iaitu niat.

memberi salam yang pertama adalah termasuk di dalam rukun solat kategori qauliyyah. Ianya dinamakan sebagai qauliyyah kerana disyaratkan kepada orang yang solat bagi melafazkan sebutannya yang didengari dirinya sendiri. [Lihat : al-Taqrirat al-Sadidah, m/s : 208]

Memberi salam yang pertama adalah wajib berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW :

مِفتاحُ الصَّلاةِ الطُّهورُ، وتحريمُها التَّكبيرُ، وتحليلُها التَّسليمُ

Maksudnya : “Kunci solat itu adalah bersuci, ihramnya adalah takbir dan yang menghalalkannya adalah salam”[HR al-Tirmizi (238) dan al-Albani menilainya sebagai sahih]

Imam Nawawi mengulas hadis di atas dengan katanya :

“Kesimpulannya, memberi salam adalah merupakan rukun daripada rukun-rukun solat. Tidak sah sesuatu solat itu melainkan dengannya. Dan tidak ada yang dapat mengambil tempatnya (menggantikannya). Sekurang-kurangnya hendaklah dia menyebut lafaz salam (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ). Sekiranya dia kurang satu huruf daripada huruf-hurufnya ini, tidak sah salamnya itu” [Lihat : al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/475-476)]

Seringkas-ringkas lafaz salam adalah (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ) sebanyak sekali, dan yang sebaik-baiknya ialah (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ) sebanyak dua kali, iaitu pada kali pertama sambil berpaling ke kanan dan pada kali kedua pula berpaling ke kiri. [Lihat : al-Fiqh al-Manhaji (1/141), al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/300), Mughni al-Muhtaj (1/385) dan Raudhah al-Talibin (1/267-268)]

Hal ini adalah berdasarkan hadis, daripada Sa’d bin Abi Waqqas RA :

كُنْتُ أَرى رَسولَ اللهِ ﷺ يُسَلِّمُ عن يَمِينِهِ، وَعَنْ يَسارِهِ، حتّى أَرى بَياضَ خَدِّهِ.

Maksudnya : “Aku melihat Rasulullah SAW mengucapkan salam ke kanan dan ke kirinya hingga kelihatan putih pipinya.” [HR Muslim (582)]

Adapun memberi salam dengan lafaz (عَلَيْكُمُ السَّلَامُ), menurut mazhab Syafie ianya diterima tetapi hukumnya adalah makruh. [Lihat : Tuhfah al-Muhtaj (2/90), Raudhah al-Talibin (1/267), al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/476) dan al-Azkar lin Nawawi, m/s : 148 ]

Lafaz-lafaz yang tidak sah

Sekiranya seseorang itu memberi salam dengan lafaz (السَّلَامُ عَلَيْهِمْ) ianya tidak sah tetapi solatnya tidak batal kerana itu adalah doa kepada pihak ketiga.

Manakala menggunakan lafaz-lafaz lain seperti (السَّلَامُ عَلَيْكَ) atau (سَلَامِي عَلَيْكَatau (سَلَامُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ), juga tidak sah. Sekiranya dia tidak sengaja menyebut lafaz-lafaz berkenaan, solatnya tidak batal tetapi dia wajib mengulangi semula lafaz salam yang betul dan sabit. Sekiranya dia menyebut lafaz-lafaz berkenaan dengan sengaja, maka solatnya terbatal.

Adapun memberi salam dengan lafaz (سَلَامٌ عَلَيْكُمْ) iaitu dibaca dengan tanwin pada huruf mim, ulama dalam kalangan mazhab Syafie berbeza pendapat :

Pendapat pertama, lafaz salam tersebut sah kerana tanwin telah menggantikan alif dan lam (ال). Pendapat ini telah dipegang oleh sebahagian ulama daripada Khurasan seperti Imam al-Haramain, al-Baghawi al-Rafie. Imam Nawawi menyatakan bahawa pendapat ini adalah ganjil.

Pendapat kedua, lafaz salam tersebut tidak sah. Ini adalah merupakan pendapat yang telah dipilih oleh Imam Nawawi dan dipersetujui oleh Syeikh Abu Hamid, al-Bandaniji, Qadi Abu al-Tayyib dan kebanyakkan ulama mazhab Syafie. Syeikh Abu Hamid dan Abu Ishak al-Marwazi menukilkan bahawa ianya adalah merupakan pandangan Imam Syafie. Mereka berdalilkan sabda Nabi SAW :

صَلُّوا كما رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya : “Solatlah sepertimana kamu semua melihat aku solat” [HR al-Bukhari (6008) dan Muslim (674)]

Hadis-hadis sahih telah menerangkan kepada kita semua bahawa Nabi SAW ketika memberi salam menyebut lafaz (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ) dan tidak ada lafaz yang dinukilkan daripadanya bahawa baginda menyebut (سَلَامٌ عَلَيْكُمْ).

[Lihat : al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/476), Mughni al-Muhtaj (1/385), dan Raudhah al-Talibin (1/267)]

Di dalam kitab al-Azkar, Imam Nawawi menyatakan bahawa :

وإن كان ساهياً لم تبطل، ولا يحصلُ التحلّل من الصلاة، بل يحتاج إلى استئناف سلامٍ صحيح

Maksudnya : “Sekiranya dia tidak sengaja (menyebutnya), solatnya tidak batal, tetapi solatnya belum lagi selesai sehinggalah dia mengulang semula lafaz salam yang betul” [Lihat : al-Azkar, m/s : 149]

Kesimpulannya :

Berdasarkan kepada persoalan di atas, setelah diteliti pandangan para ulama, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Pertama, sekiranya seseorang dengan sengaja memberi salam yang pertama dengan lafaz yang tidak sah, solatnya terbatal.
  • Kedua, sekiranya seseorang itu, tersilap atau tidak sengaja semasa memberi salam yang pertama dengan lafaz yang tidak sah, solatnya tidak batal tetapi wajib ke atasnya mengulangi semula lafaz salam yang betul dan sabit.
  • Ketiga, disunatkan sujud sahwi bagi sesiapa yang tersilap atau tidak sengaja memberi salam yang pertama dengan lafaz yang tidak sah sebagaimana yang telah disebut oleh Imam Nawawi dan Dr. Muhammad al-Zuhaili :

فَإِنْ قَالَهُ سَهْوًا لَمْ تَبْطُلْ صَلَاتُهُ وَلَكِنْ يسجد للسهو تجب إعَادَةُ السَّلَامِ

Maksudnya : “Sekiranya dia telah memberi salam (dengan lafaz yang tidak sah), solatnya tidak batal, tetapi dia (disunatkan) sujud sahwi dan wajib mengulangi lafaz salam (yang betul)” [Lihat : al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/476) dan al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/300) ]

  • Hukum sujud sahwi adalah sunat, apabila adanya sebab-sebab yang mengizinkannya. Caranya adalah selepas dia tersilap dalam melafazkan lafaz salam tersebut, hendaklah dia sujud sahwi dahulu dan barulah dia mengulang semula lafaz salam yang betul. Hal ini kerana tempat sujud sahwi adalah di penghujung solat iaitu selepas bacaan tasyahhud akhir serta selawat ibrahimiyyah dan sebelum memberi salam. [Lihat : al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/336-337)]

Akhir sekali, marilah kita sama-sama berdoa agar Allah SWT menerima amal ibadah kita.

407 total views, 1 views today

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here