Adik Naja Bukti Kemukjizatan Al-Quran

0
58

Baru-baru ini adik Naja atau nama penuhnya Muhammad Naja Huda Afifurrahman Al-Hafiz telah datang ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan bagi program “Siri Wacana Huffaz OKU adik Naja Penghafaz Palsi Serebrum”. Adik Naja merupakan al-hafiz dari Indonesia yang berumur 9 tahun.

Menurut perkongsian kisah ibu Naja, dia sama sekali tidak sangka anak lelakinya itu mampu hafaz bacaan Al-Quran dengan lancar dalam masa singkat. Adik Naja dilahirkan sebagai seorang bayi yang normal, namun, doktor mengesahkan adik Naja mengalami cerebral palsy dan disebabkan kelumpuhan otak itu membuatkan perkembangan mindanya agak lambat berbanding bayi lain.

Menurut ibunya juga, sebelum bermula penghafalan, adik Naja selalu sakit, namun selepas bermula penghafalan al-Quran, sakitnya semakin berkurangan. Ini terbukti bahawa Al-Quran merupakan kalamullah yang bermukjizat, kemukjizatannya tiada tolok bandingnya. Yang sakit boleh sembuh tidak kira kesakitan yang dialami dari segi fizikal mahupun rohani. Firman Allah SWT Dalam Surah Al Isra’: 82

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Maksudnya: “Dan Kami turunkan dari Al Quran itu suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.“

Lebih mengagumkan apabila adik Naja mampu menjawab kesemua soalan yang diajukan oleh penonton, sebut sahaja ayat al-Quran pasti dia mampu mengulang dan  menyambungnya, bukan sekadar itu, adik Naja juga mampu menyebut nombor ayat , halaman beserta terjemahan! Subhanallah, menitis air mata penonton kerana terlalu sebak melihat kebolehan adik Naja mengingat setiap halaman al-Quran dengan begitu baik!

Menurut ibunya, adik Naja menghafal dengan cara mendengar, dan mengambil masa selama 10 bulan untuk menghafal keseluruhan al-Quran dan 4 bulan untuk menghafal terjemahannya.

Kebolehan yang sebegini memang benar-benar menunjukkan kemukjizatan al-Quran sehingga mudah bagi sesiapa sahaja untuk membaca dan menghafalnya meskipun kelainan upaya.

Al-Quran itu terpelihara dari awal penurunannya sehinggalah ke hari ini, benar Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya : Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

Moga-moga kisah ini menjadi inspirasi setiap dari kita untuk lebih bersemangat menghafal al-Quran. Sedangkan adik Naja mampu, pasti kita yang lebih sihat ini lebih berkemampuan untuk menghafal.

375 total views, 1 views today

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here