Hukum Melakukan Sujud Syukur Dalam Solat

0
237

Sujud syukur dilakukan bagi menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT atas nikmat yang diperoleh atau selamat dari malapetaka. Perbuatan sujud syukur ini disyariatkan berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah R.A beliau berkata:

أَنَّهُ كَانَ إِذَا جَاءَهُ أَمْرُ سُرُورٍ أَوْ بُشِّرَ بِهِ خَرَّ سَاجِدًا شَاكِرًا لِلَّهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi S.A.W ketika telah datang sesuatu perkara yang menggembirakan ataupun diceritakan sesuatu yang gembira dengannya, baginda akan turun sujud, bersyukur kepada Allah S.W.T.

Riwayat Abu Daud (2774)

Merujuk kepada persoalan adakah boleh melakukan sujud syukur di dalam solat, kami bawakan jawapan sepakat para fuqaha bahawa tidak boleh untuk seseorang itu melakukan sujud syukur di dalam solat. Bahkan perbuatan tersebut membatalkan solat kecuali bagi seseorang yang jahil ataupun terlupa. Ia dianggap membatalkan solat kerana berlakunya penambahan dalam solat dengan perbuatan yang bukan sebahagian daripada solat.

Kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah:

اتَّفَقَ أَصْحَابُنَا عَلَى تَحْرِيمِ سُجُودِ الشُّكْرِ فِي الصَّلَاةِ فَإِنْ سَجَدَهَا فِيهَا بَطَلَتْ صَلَاتُهُ بِلَا خِلَافٍ

Maksudnya: Para ashab kami (al-Syafi’eyyah) telah bersepakat akan keharaman melakukan sujud syukur di dalam solat. Maka sekiranya seseorang melakukan sujud syukur di dalam solat, terbatallah solatnya tanpa sebarang khilaf (perbezaan pendapat akan hal tersebut). Rujuk Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/68).

Imam Ibn Qudamah Rahimahullah:

وَلَا يَسْجُدُ لِلشُّكْرِ وَهُوَ فِي الصَّلَاةِ. لِأَنَّ سَبَبَ السَّجْدَةِ لَيْسَ مِنْهَا. فَإِنْ فَعَلَ بَطَلَتْ صَلَاتُهُ، إلَّا أَنْ يَكُونَ نَاسِيًا أَوْ جَاهِلًا بِتَحْرِيمِ ذَلِكَ

Maksudnya: Dan seseorang itu tidak boleh melakukan sujud syukur dalam keadaan dia sedang solat. Ini kerana sebab sujud tersebut dilakukan bukan sebahagian daripadanya (perbuatan solat). Maka sekiranya seseorang itu melakukannya maka batallah solatnya. Melainkan dia melakukannya dalam keadaan terlupa atau tidak tahu akan pengharamannya. Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (1/449).

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa tidak boleh untuk seseorang itu melakukan sujud syukur di dalam solat. Sebaliknya, ia dilakukan di luar solat. Meskipun begitu, seseorang perlu jelas bahawa perbuatan solat itu sendiri hakikatnya merupakan suatu manifestasi kesyukuran seorang hamba kepada Tuhannya atas segala nikmat yang diperoleh. Ini dapat difahami berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Mughirah:

 قَامَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم حَتَّى تَوَرَّمَتْ قَدَمَاهُ فَقِيلَ لَهُ غَفَرَ اللَّهُ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ قَالَ ‏أَفَلاَ أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا

Maksudnya: Nabi S.A.W mengerjakan qiyamullail sehingga bengkak kedua tapak kaki baginda. Lalu ditanyakan kepada baginda: ‘’Allah telah mengampunkan dosa-dosamu yang terdahulu dan yang akan datang’’. Maka baginda S.A.W menjawab: ‘’Apakah tidak patut aku ini menjadi seorang hamba yang bersyukur ?’’.

Riwayat Al-Bukhari (360)

Maka hadis ini jelas dalam menunjukkan bahawa cara Rasulullah S.A.W menzahirkan syukur atas nikmat terampunnya dosa-dosa adalah dengan melaksanakan solat malam itu sendiri.

Akhir kalam semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

–Mufti Wilayah Persekutuan

1,271 total views, 1 views today

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here