Memaki Hamun Orang Ketika Memandu

0
112

Alangkah ruginya kita jika banyak melakukan amal ibadat akan tetapi banyak menghamburkan kata-kata yang buruk dan nista. Lidah boleh menambahkan pahala dan lidah juga boleh menghapuskan segala amalan yang kita lakukan.

Menurut Mufti Wilayah Sahibus Samahah Dr Zulkifli Al Bakri, perbuatan memaki hamun orang lain yang melakukan kesalahan ketika memandu adalah tidak elok, meskipun mereka melakukan kesalahan jalan raya atau mungkin boleh membahayakan nyawa orang lain.

Ini kerana kita sebagai seorang muslim diajar untuk berkata dengan perkataan yang baik bukan perkataan yang kotor. Nabi SAW pernah bersabda :

مَنْ يَضْمَنْ لِي مَا بَيْنَ لَحْيَيْهِ وَمَا بَيْنَ رِجْلَيْهِ أَضْمَنْ لَهُ الْجَنَّةَ

Maksudnya : “ Sesiapa yang boleh menjamin kepada aku (untuk menjaga) apa yang ada di antara dua rahangnya (lidah) dan juga di antara dua kakinya (kemaluan) maka aku akan jamin baginya syurga.”

Riwayat Al-Bukhari (6474)

Sheikh Mustafa Al-Bugha, Sheikh Mustafa Khin, Sheikh Muhyiddin Misto dan lain-lain lagi menyebut bahawa hadis ini memberi faedah agar menjaga lisan daripada menyebut perkara-perkara yang haram dan dilarang. Ianya boleh jadi sebab kita masuk ke dalam syurga dan diselamatkan daripada api neraka. (Rujuk Nuzhah Al-Muttaqin Syarh Riyadh Al-Salihin, 1/1036)

Jauhilah daripada menyebut atau menggunakan perkataan yang kasar. Berusaha untuk menasihati dengan cara yang baik. Ingatlah bahawa setiap apa yang kita ucapkan kesemuanya akan dicatitkan. Jika kita ucapkan perkara yang baik maka pahalalah bagi kita. Jika kita ucapkan perkara yang buruk dan kesat maka dosalah yang akan kita peroleh. Ini boleh dilihat melalui firman Allah SWT :

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Maksudnya : “ Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).

(Surah Qof : 18)

Oleh itu, cubalah sedaya upaya untuk menahan diri daripada berkata yang tidak elok walaupun saat itu kita berasa sangat marah dengan orang yang melakukan kesalahan tersebut.

Daripada kita menghamburkan kata-kata nista, adalah lebih baik sekiranya kita beristighfar dan mendoakan perubahan orang yang telah melanggar undang-undang jalan raya tersebut. Selamat mencuba!

757 total views, 1 views today

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here