Jiwa Tenang VS Jiwa Kacau

0
255

Apabila seserang yang sedang berada dalam kemaruk cinta, maka dia akan dilabelkan sebagai ‘jiwa kacau’. Setiap perkara dan urusan yang dilakukannya serba tak kena. Bak kata orang ” makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena”. Itulah JIWA KACAU. Jiwa yang diganggu oleh perasaan cinta kepada pasangannya.

Sebenarnya bukan soal cinta dan perasaan sahaja yang boleh membuatkan manusia menjadi ‘jiwa kacau’ malah setiap perkara yang menghalang tumpuan atau fokus manusia sebagai hamba Allah SWT penyumbang kepada masalah jiwa kacau. Maka masalah ini boleh berlaku kepada semua individu bukan sahaja kepada pasangan yang bercinta.

SIAPA YANG KACAU JIWANYA?

Bagi seorang pelajar apabila tekanan untuk berjaya dalam pelajaran wujud dan ditambah pula dengan tanggungjawab lain yang wajib digalas, maka ia akan mengganggu tumpuannya dalam beberapa aspek kehidupan seharian. Ada yang belajar sehingga lewat malam sehingga tertinggal solat subuh, atau terlewat subuh. Maka jelas, sebenarnya dia mengalami masalah jiwa kacau. Ada remaja yang STUDY sehingga tidak peduli ahli serumah yang lain dan ada juga yang buat tak tahu dengan pelajaran dan peperiksaannya. Maka, jiwanya juga kacau!

Tidak kurang juga ada segelintir yang nampak gembira dalam kehidupan, namun sebaliknya berlaku pada hakikatnya. Ramai yang gembira apabila banyak harta, tetapi tidak pernah sedikit pun memberi kepada yang papa. Sebenarnya, jiwanya kacau. Agak ramai juga yang suka melepaskan lelah di rumah tatkala pulang kerja, sehinggakan tidak sempat untuk berjemaah di masjid dan mendengar kuliah agama. Jiwanya juga kacau.

Era akhir zaman kini, sebenarnya ramai yang ber’jiwa kacau’. keduniaan telah mengacau hati dan jiwa manusia sehingga dunia kian kacau bilau. Saban hari ada sahaja masalah yang dipaparkan di dada-dada akhbar yang menceritakan perangai manusia sebegini. Nauzubillah

 

PEMBAHAGIAN JIWA

Jiwa yang tenang adalah jiwa yang dapat dikecap oleh orang yang beriman yang sentiasa menyerahkan urusannya kepada pentadbir sebenar kehidupan iaitu Allah SWT lantas kehidupannya menjadi mudah dan tenang. Jiwanya tidak kacau dengan keserabutan dunia. Sekalipun hidupnya penuh dengan ujian dan ranjau kehidupan, ia tidak menggoyahkan hubungannya dengan Allah swt.

Justeru sekiranya kita dilanda masalah, marilah bersama kita berdoa seperti doa para pemuda al-Kahfi tatkala mereka dihimpit masalah, doa yang terakam dalam al-Quran bermaksud: ” Wahai Tuhan Kami, kurniakan kepada kami rahmat dari sisiMu serta berikan kepada kami petunjuk dalam urusan kami. ” (Surah al-Kahfi 18:10)

Jiwa yang mencela kesilapan diri merupakan jiwa orang yang beriman yang semakin hampir kepada jiwa yang tenang. jiwa sebegini adalah jiwa yang sensitif dengan kesalahan diri lantas mencela diri sendiri sehingga membawa keinsafan. Lama-kelamaan jiwa yang dididik dengan muhasabah dan peringatan akan menjadi tenang.

Inilah sifat jiwa seorang mukmin yang perlu dilatih dalam diri kita. Sebagai anak adam, sudah tentu kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan.

Jiwa yang ketiga adalah jiwa yang mendorong ke arah keburukan. Inilah jiwa kacau yang sebenarnya. Kadang-kadang manusia tidak sedar yang dirinya didorong oleh nafsu ke arah keburukan sehingga sudah tidak mengenal erti iman dan takwa. Setiap kehidupannya hanya untuk kesedapan di perut dan di mulut, tidak lebih dari itu.

Jangan mudah mengalah wahai orang yang beriman. Allah SWT Maha merahmati hamba Nya yang berusaha ke arah jiwa yang tenang. Tenangkan jiwa anda daripada keduniaan, “kacau” lag jiwa dengan akhirat yang mendekat.

 

Ustaz Mohd Azrul Ismail.

1,616 total views, 1 views today

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here