Atasi Stress Dengan Cara Ini….

0
131

“Stress” secara umumnya adalah satu gambaran tentang tekanan perasaan seseorang sehingga tidak mampu menjalani kehidupan normal.  Sebenarnya ini hanyalah satu persepsi tentang stres. Mungkin satu perkara dianggap stres bagi seseorang, dianggap positif pula bagi orang yang lain. Sebagai contoh, seseorang yang dibebankan dengan tugas yang banyak oleh majikannya mungkin akan mengalami tekanan perasaan padanya. Bagi individu yang lain pula, mungkin ia adalah satu motivasi baginya kerana dia menganggapnya sebagai satu kepercayaan yang diberikan oleh majikan terhadapnya. Oleh itu, kita boleh memperumpamakan stres sebagai sebilah pisau yang boleh menjadi alat berguna atau ancaman terhadap diri seseorang.

Stress ialah tekanan. Tekanan merupakan fitrah dalam kehidupan manusia. Allah menegaskan bahawa kehidupan manusia tidak sunyi daripada ujian, cabaran dan dugaan. Ujian-ujian inilah yang akan membentuk tekanan dan stress dalam diri manusia. Tekanan yang dialami oleh seseorang boleh membawa kesan positif dan negatif.  Kesan positifnya ialah dapat meningkatkan keyakinan diri, berusaha bersungguh-sungguh dan membina peribadi yang mantap, berdisiplin dan mempunyai kreativiti yang tinggi.

Sebaliknya, unsur negatif yang mungkin dihadapi oleh orang yang mengalami stress apabila tidak dapat menghadapi dan mengawalnya dengan baik ialah gangguan terhadap emosi dan fizikal. Seorang muslim yang cemerlang ialah mereka yangdapat mengawal tekanan yang dihadapi dengan baik. Seseorang itu tidak dapat lari daripada tekanan sama ada tekanan yang melibatkan masalah kerja, kesihatan, keluarga, masyarakat dan sebagainya. Orang yang menghadapi tekanan hendaklah berusaha untuk menanganinya dengan kaedah yang terbaik.

Justeru, antara cara untuk mengatasi masalah stress ketika berhadapan dengan karenah orang lain ialah melakukan perkara-perkara berikut:

(a)    Menghiasi diri dengan sifat pemaaf

Di dalam al-Quran Allah SWT memuji orang-orang yang menahan kemarahan dan memaafkan orang lain: Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 134 bermaksud: … Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.

Sirah Rasulullah SAW, para rasul dan para nabi penuh dengan kisah-kisah kemaafan kepada umat mereka. Walaupun mereka ditentang habis-habisan, dimaki hamun, dicerca dan diancam akan dibunuh, namun mereka tetap memaafkan umat dan berharap umat mereka akan sedar dan menerima hidayah. Sebagai contohnya ialah ketika Rasulullah SAW mengalami luka di muka dan patah giginya di dalam peperangan Uhud, namun baginda menolak cadangan supaya memohon diturunkan bala kepada kaum musyrikin. Sebaliknya baginda berdoa, “Ya Allah Ya Tuhanku, berilah hidayah kepada kaum ku. Sesungguhnya mereka tidak memahami”. Kesabaran dan sifat pemaaf itulah menjadi sumber ketenangan para rasul dan para nabi dalam menghadapi pelbagai ujian dan tribulasi dalam usaha dakwah mereka.

(b) Mengelakkan Diri Dari Faktor-faktor Yang Menimbulkan Stress

Kita hendaklah mengenali diri kita terlebih dahulu. Apakah yang kita suka dan apakah yang kita benci. Kita hendaklah mengelakkan diri daripada perkara yang kita benci agar tidak menimbulkan stress. Sebagai contohnya jika kita tidak suka kepada tabiat merokok rakan kita, kita hendaklah menyatakan kepadanya dengan penuh hikmah. Apabila rakan kita memahaminya, dia akan cuba menghindari tabiat buruknya apabila bersama kita.

(c) Berdoa

Berdoa merupakan langkah yang amat berkesan untuk mengelakkan diri kita mudah rasa stress. Oleh yang demikian, nabi SAW telah menjelaskan bahawa ’doa itu senjata bagi orang yang beriman’. Antara doa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW ialah:

Ya Allah berikanlah kekuatan jiwa padaku, sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling elok yang menyucikannya, Engkaulah walinya dan Engkaulah tuannya.

Ya Allah Ya Tuhanku, Yang Maha Mengetahui Perkara Yang Ghaib dan Nyata, Pencipta langit dan bumi, Tuhan segala sesuatu dan Pemiliknya. Aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Engkau. Aku Memohon dengan Engkau daripada keburukan diriku dan daripada keburukan Syaitan serta sekutunya. Doa ini diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Abu Bakr al-Siddiq r.a.

Di samping itu terdapat banyak lagi doa-doa lain yang boleh diamalkan yang boleh diambil daripada buku-buku doa yang dijual di pasaran.

873 total views, 1 views today

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here