Hukum Terbalikkan Tangan Semasa Berdoa Tolak Bala

0
239

Membalikkan Tangan Ketika Doa Tolak Bala

Dalam isu berdoa bagi menolak bala dan musibah seperti kemarau panjang dan selainnya dengan cara membalikkan tangan semasa berdoa, maka antara hujah yang digunakan dalam hal ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم اسْتَسْقَى فَأَشَارَ بِظَهْرِ كَفَّيْهِ إِلَى السَّمَاءِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi S.A.W melakukan istisqa’ (meminta doa hujan turun), lalu baginda menghalakan bahagian zahir (atas) kedua pergelangan tangan baginda ke arah langit.

Riwayat Muslim (895)

Imam al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata:

قال جماعة من أصحابنا وغيرهم : السنة في كل دعاء لرفع بلاء كالقحط ونحوه أن يرفع يديه ويجعل ظهر كفيه إلى السماء ، وإذا دعا لسؤال شيء وتحصيله جعل بطن كفيه إلى السماء واحتجوا بهذا الحديث

Maksudnya: Sebahagian dari ashab kami dan selain mereka menyatakan bahawa sunnah di dalam setiap doa mengangkat bala seperti kemarau dan seumpamanya adalah dengan mengangkat kedua tangan dan menjadikan bahagian zahir (atas) kedua tangannya mengarah ke langit. Dan apabila seseorang itu berdoa untuk meminta dan mendapatkan sesuatu maka dia menjadikan bahagian batin (dalam) kedua tangannya menuju ke langit. Dan mereka berhujahkan dengan hadis ini. Rujuk Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim (6/494).

Manakala Syeikh Zakaria bin Muhammad bin Zakaria Al-Ansari pula berkata: Dan diqiyaskan dengan (doa) istisqa’ itu perkara yang sama pada makna (dengannya) dan hikmahnya (membalikkan tangan) adalah untuk mengangkat bala’ berbeza keadaannya dengan tujuan untuk mendapatkan sesuatu, maka dia menjadikan bahagian batin (dalam) tangannya ke arah langit. Rujuk Asna al-Mathalib, Zakaria bin Muhammad al-Ansari (1/293).

Meskipun begitu para ulama tidaklah kesemuanya bersepakat dalam hal ini. Ini disebabkan berbezanya kefahaman mereka terhadap hadis doa istisqa’ tersebut. Sebahagian ulama berpendapat bahawa yang dimaksudkan dari hadis tersebut adalah Nabi S.A.W mengangkat kedua tangan baginda dengan begitu tinggi sehingga kelihatan warna putih ketiak baginda S.A.W, lalu orang ramai yang melihatnya seakan menyangka bahawa baginda mengarahkan bahagian zahir tangan ke langit.

Kesimpulan

Sebagai penutup Dr Zulkifli Al Bakri menyatakan bahawa perbuatan membalikkan tangan ketika berdoa tolak bala merupakan suatu pendapat yang bertepatan dengan zahir hadis. Disunatkan untuk melakukannya ketika seseorang berdoa untuk menjauhkan bala dan musibah. Maka tidak diingkari seseorang yang berpegang dan beramal dengan pandangan ini kerana ia ditunjukkan oleh hadis yang sahih dan sabit juga dari pengamalan para salaf.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

 

Sumber : Mufti Wilayah Persekutuan

968 total views, 1 views today

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here