Menghafaz Al-Quran Dalam Masa 41 Hari

0
85

Keinginan mendalam untuk menjadi seorang huffaz sejak berusia 13 tahun menjadi pendorong kepada bekas pelajar Sekolah Agama Bantuan Khas (SABK) Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar menghafaz al Quran dalam tempoh 41 hari.

Pencapaian diraih Muhammad Muttaqin Suhaimi,18, itu menjadi rekod baharu dalam Program Tahfiz Integrasi (PTI) di Pusat Latihan Tahfiz Integrasi An Nur di Kampung Permatang Pasir, di sini yang menetapkan setiap pelajar menghafaz sekurang-kurangnya 20 juzuk dalam tempoh tiga bulan.

Muhammad Muttaqin berkata, dia memulakan hafalan pada 30 Disember tahun lalu dengan membahagikan masa antara 10 ke 13 jam sehari dan hanya berhenti untuk menunaikan solat, makan dan berehat.

“Kebiasaannya selepas subuh hinggalah jam 8 pagi, saya menghafal empat muka surat, kemudian berehat dan menyambung semula hafalan pada jam 9 pagi hingga 12 tengah hari untuk mendapatkan sekurang-kurangnya tujuh muka surat.

“Pada sebelah petang pula, hafalan bermula dari jam 2.30 hingga 4.30 petang dan disambung pada sebelah malam selepas solat Isyak,” katanya.

Anak sulung daripada tujuh beradik ini sama sekali tidak menyangka dapat menghafaz 30 juzuk dalam tempoh berkenaan kerana berdepan kesukaran di awal proses hafalan.

“Dalam sehari, saya nak dapatkan lapan muka surat pun agak payah, tapi saya tanam azam nak tingkatkan hafalan.

“Alhamdulillah… proses hafalan meningkat dari 15 muka surat kepada 20 muka surat dan paling banyak saya boleh buat setakat ini menghafaz 25 muka surat dalam sehari,” katanya.

Katanya, tiada sebarang petua lain diamalkan, hanya meletakkan rasa cinta kepada al-Quran dan istiqamah dalam pembacaan dari awal hingga akhir.

Teknik tadabbur atau bayangan yang digunakan dalam PTI juga banyak membantu, bukan sahaja memudahkan hafalan, tetapi memahami ayat-ayat dengan lebih mendalam dan mengamalkannya.

“Memahami kandungan al-Quran membuatkan kita lebih dekat dengan ALLAH SWT, keadaan sekarang ramai remaja terpengaruh dengan pelbagai medium media sosial, bukan tak boleh, cuma dekatlah juga dengan al-Quran, semoga ilmu yang dibekalkan itu nanti boleh jadi pelindung agar kehidupan akan datang menjadi lebih teratur,” katanya.

Berhasrat menyambung pengajian dalam bidang Usuluddin di Mesir, Muhammad Muttaqin berharap impiannya menjadi seorang pendakwah akan tercapai agar dapat mengajak lebih ramai mendekati Islam dan al-Quran.

“Ini juga harapan ibu bapa saya, mereka jugalah yang bertanggungjawab membawa saya ke Pusat Latihan Tahfiz Integrasi An Nur ini,” katanya.

PTI yang dijalankan Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) ini sudah memasuki siri kedua melibatkan 50 peserta, 35 daripadanya adalah perempuan masing-masing lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Program kali ini berlangsung dari 29 Disember hingga 31 Mac depan, selain menghafaz, PTI juga menawarkan modul keusahawanan, kepimpinan, kesukarelawan dan sahsiah diri.

Dalam pada itu, Pengerusi YDKMM, Ahmad Umair Zulkefli berkata, pada siri pertama tahun lalu, seramai 26 pelajar daripada 50 peserta berjaya menghafaz 30 juzuk dalam tempoh tiga bulan, kebanyakan mereka telah berjaya menempatkan diri di universiti tempatan dan antarabangsa.

“Kali ini sasaran kita adalah 100 peratus, selain pemilihan rapi peserta kita juga menyediakan tenaga pengajar yang mempunyai kepakaran tinggi antaranya berkelulusan dari Mesir,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

604 total views, 1 views today

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here