Makmum Tak Sempat Habiskan Al-Fatihah. Bagaimana Solusinya?

0
225

Dalam masalah imam membaca dengan laju sampai menyebabkan makmum tidak sempat menghabiskan al-Fātiḥah, ada beberapa aṣḥāb al-ḥawāshī dalam mazhab Shāfi‘ī berpendapat bahawa makmum perlu terus rukuk bersama imam. Jika tidak rukuk, rakaat tersebut boleh terlepas atau solat itu sendiri boleh terbatal kerana mereka dianggap masbūq dan ia boleh terjadi dalam mana-mana rakaat.

Mereka memahami ibarat “imam membaca laju” yang disebutkan oleh ulama mazhab sebelumnya sebagai salah satu bentuk keuzuran bagi muwāfiq dengan maksud makmum yang membaca lambat. Dengan kata lain, mereka mentakwil ibarat tersebut kerana bagi mereka, jika imam betul-betul membaca laju, makmum yang tidak sempat menghabiskan al-Fātiḥah wajib terus rukuk.

Mereka antaranya:

Pertama, Syeikh al-Qalyūbī (1069 H). Katanya dalam ḥāshiyah syarah Imam al-Maḥallī (864 H) ke atas Minhāj al-Ṭālibīn, “dan ia lambat bacaannya”:

“Yakni secara semulajadi (khilqah) dan beliau mengisyaratkan dengannya (kata-kata itu) bahawa cepat dalam kata-kata penulis (al-Nawawī) adalah bacaan yang sederhana. Adapun cepat yang sebenar, maka makmum cukup dengan apa yang telah dibaca – walaupun bacaannya lambat – dan ia wajib rukuk bersama imam. Jika tidak, solatnya batal.”

Kedua, Syeikh al-Shabrāmallisī (1087 H). Katanya dalam ḥāshiyah Nihāyah al-Muḥtāj oleh Syeikh Shams al-Dīn al-Ramlī (1004 H):

“Katanya “jika tidak, masbūq.” Antaranya yang berlaku pada ramai imam yang mempercepat bacaan sampai makmum tidak sempat selepas qiyām daripada sujud untuk membaca al-Fātiḥah dengan sempurna sebelum imam rukuk lalu rukuk bersamanya dan rakaat itu dikira walaupun yang demikian itu berlaku dalam semua rakaat. Jika ia ketinggalan untuk menyempurnakan al-Fātiḥah sehingga imam mengangkat kepala daripada rukuk atau ia (sempat) rukuk bersamanya tanpa ṭu’manīnah sebelum imam bangun daripada had rukuk yang paling kurang, ia terlepas rakaat itu. Jadi, ia perlu (terus) mengikut perbuatan imam dan menambah satu rakaat selepas imam memberi salam.”

Walau bagaimanapun, semua ini hanyalah waham kerana ibarat-ibarat yang digunakan oleh aṣḥāb sebelum mereka jelas menunjukkan “imam membaca dengan cepat” adalah seperti zahirnya. Antaranya, ibarat Kadi al-Ḥusayn (462 H) yang berbunyi:

“Sekiranya imam cepat dalam bacaan ba‘da an ya’tī bi-al-ḥurūf dan makmum lambat dalam bacaan…”

Ba‘da an ya’tī bi-al-ḥurūf iaitu “selepas mendatangkan huruf-huruf tersebut” atau dengan kata mudah, menjaga tajwid menunjukkan imam dalam keadaan tersebut benar-benar membaca dengan cepat sehingga ada kemungkinan untuk laḥn (kesilapan tajwid).

Dan kerana memahami kecepatan bacaan itu secara hakikilah, Imam al-Nawawī, ketika meringkaskan ibarat al-Muḥarrar yang menyebutkan kedua-dua keadaan – imam membaca cepat dan makmum membaca lambat – memilih untuk menyebut imam membaca cepat sahaja, seperti berikut:

“Sekiranya imam mempercepat bacaannya dan rukuk sebelum makmum menyelesaikan al-Fātiḥah, dikatakan (bahawa) makmum mengikutinya dan bakinya gugur. Yang sahih, makmum menyelesaikannya dan mengejar di belakangnya selama tidak didahului lebih daripada tiga rukuk yang dimaksudkan iaitu yang panjang.”

Sekiranya maksud sebenar ialah makmum yang membaca lambat, sudah tentu itulah yang sepatutnya dikekalkan.

Demikian juga yang difahami oleh Imam Ibnu al-Rif‘ah kerana beliau membezakan antara masalah imam membaca cepat dengan makmum membaca lambat seperti dalam kata-katanya yang berikut:

“Furuk pertama, orang yang berihram bersama imam, tetapi makmum lambat bacaannya maka ia tidak menyempurnakan al-Fātiḥah sehingga imam rukuk… Dalam hal ini terdapat dua wajh yang dihikayatkan oleh al-Bandanījī daripada Ibnu Surayj seperti dua wajh dalam (masalah) orang yang sesak untuk sujud… Yang disebutkan dalam Tatimmah (al-Ibānah) dalam masalah kita, iaitu yang disahihkan oleh al-Baghawī dan Ibrāhīm al-Marwazī ialah yang kedua, dan itulah yang disahihkan oleh aṣḥāb kesemuanya pada pandangan (al-naẓar) yang kami sebutkan… (Furuk) lain, sekiranya makmum berihram bersama imam, tetapi imam cepat bacaannya, dan kerana kecepatannya ia rukuk sebelum makmum menyelesaikan al-Fātiḥah, kata Kadi Ḥusayn dan al-Mutawallī, makmum menyelesaikan al-Fātiḥah dan ia seperti orang yang ketinggalan mengikut imam dengan uzur. Kata Imam (al-Ḥaramayn), aṣḥāb berselisih dalam ṣūrah (bentuk keadaan) ini sama ada ketinggalan padanya seperti ketinggalan dengan uzur atau tanpa uzur.”

Cuma, tidak diketahui ada ulama sebelumnya yang benar-benar memisahkan antara dua masalah ini seperti beliau. Nama-nama yang disebutkan belum tentu berpendapat kedua-duanya berlainan. Kadi al-Ḥusayn misalnya, seperti dalam petikan lalu menyebutnya bersama. Walau bagaimanapun, apa yang dilakukan oleh Ibnu al-Rif‘ah ada faedahnya kerana keuzuran dalam masalah imam yang membaca cepat berpunca daripada imam dan keuzuran dalam masalah kedua berpunca daripada makmum. Jadi, masalah ini boleh diteliti dengan mempertimbangkan sudut ini pula.

Kembali kepada perbincangan asal, ulama-ulama menghuraikan kata-kata al-Nawawī dalam Minhāj al-Ṭālibin, “imam cepat bacaannya” dan lain-lain dengan “dan makmum lambat bacaannya” bukanlah untuk mengatakan bahawa imam dalam keadaan tersebut sebenarnya membaca secara sederhana seperti yang disangka oleh al-Qalyūbī dalam kata-katanya tadi, tetapi untuk mengatakan bahawa bacaan makmum tidak secepat imam. Hal ini kerana jika makmum membaca seperti imam, ertinya makmum dapat menyelesaikan al-Fātiḥah dan sempat rukuk bersama imam, jadi tiada masalah yang timbul di situ.

Walhasil, pendapat yang sahih dalam masalah ini ialah makmum perlu menyelesaikan al-Fātiḥah sama seperti makmum muwāfiq yang mengalami keuzuran lain – mengikut wajh yang sahih – seperti makmum lupa membaca al-Fātiḥah atau imam terus rukuk selepas membaca al-Fātiḥah. Namun peliknya, dalam kalangan muta’akhkhirīn, hanya Syeikh al-Sharwānī (1289 H) yang menyedari perbezaan pertentangan kenyataan al-Qalyūbī dan lain-lain dengan pendapat yang sahih ini bilamana beliau mengatakan dalam ḥashiyah Tuḥfah al-Muḥtāj oleh Ibnu Ḥajar:

“Katanya “dan imam lambat bacaannya,” begini dalam Nihāyah (al-Muḥtāj) dan Sharḥ Manhaj (al-Ṭullāb). Kata (pengarang) Mughnī (al-Muḥtāj), “atau makmum lambat bacaannya,” dan ia bertepatan dengan kata-kata (pengarang) syarah (Masā’il al-Ta‘līm) Bāfaḍl, “atau imam mempercepat bacaannya dan rukuk sebelum makmum menyelesaikan al-Fātiḥahnya walaupun bacaannya tidak lambat… Ibarat (ḥashiyah) al-Bujayramī ke atas Manhaj (al-Ṭullāb), “katanya ‘seperti imam mempercepat bacaannya,’ yang dimaksudkan ialah bahawa ia membaca secara sedang-sedang dan sederhana…” “Katanya “dan makmum lambat bacaannya” barangkali maksudnya lambat berbanding kecepatan imam, bukan lambat itu sendiri secara mutlak…,” kata al-Shawbarī.”

Maksud beliau, ibarat Khatib al-Sharbīnī dalam Mughnī al-Muḥtāj jelas menganggap makmum membaca lambat sebagai keuzuran yang berbeza daripada imam membaca cepat kerana beliau memisahkan antara kedua-duanya dengan perkataan “atau”, bukan “dan” seperti dalam Tuḥfah al-Muḥtāj dan lain-lain, walaupun hukumnya sama.

Biarpun silap, apa yang disebutkan oleh al-Qalyūbī, al-Shabrāmallisī, dan lain-lain itu bertepatan dengan salah satu wajh daripada dua wajh yang disebutkan oleh al-Nawawī tadi atau daripada tiga wajh yang disebutkan oleh al-Rūyānī (501 H) ini:

“Sekiranya makmum sempat dengan imam pada awal solatnya sedangkan imam laju bacaannya dan makmum lambat bacaannya, lalu imam selesai membaca dan rukuk, sedangkan makmum belum menyempurnakan bacaan, ada dua wajh: pertama, makmum mengikutinya dan bakinya gugur kerana kelemahan (‘ajz); dan kedua, tidak gugur tetapi ia keluar dari solatnya… Dan ada wajh ketiga (iaitu) lazim ke atasnya menyempurnakan al-Fātiḥah dalam setiap rakaat dan ketertinggalan itu tidak memudaratkan kerana ia dimaafkan.”

 

___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~

1,135 total views, 2 views today

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here