Pembaziran Makanan Rumah Terbuka

0
419

Bahang kemeriahan sambutan Aidifitri masih lagi terasa dan suasana ini pastinya akan berlanjutan sehingga ke penghujung Syawal. Malah, kemeriahan Syawal lebih berganda apabila ramai yang mengambil peluang untuk mengadakan majlis kenduri kahwin. .

Namun, dalam keghairahan penganjuran majlis kenduri kahwin dan sambutan rumah terbuka ini, perlulah berpada-pada agar tidak berlaku pembaziran makanan. Bagi pihak penganjur, mereka perlu memastikan penyediaan juadah adalah memadai dengan jumlah jemputan. Begitu juga dengan tetamu yang hadir, mereka sewajarnya tidak rambang mata dan perlu bijak mengawal nafsu untuk mengambil juadah yang dihidangkan sekadar yang mampu untuk dihabiskan sahaja agar tidak berlaku pembaziran.

Hal ini penting untuk diberi perhatian oleh kita. Sementelah, Islam amat melarang umatnya melakukan pembaziran sehingga Allah SWT menyifatkan orang-orang yang suka membazir sebagai saudara syaitan. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” (Surah al-Isra’, ayat 27).

Dalam ayat yang lain, Allah SWT telah menggariskan panduan kepada manusia dalam soal makan dan minum supaya tidak berlaku pembaziran. Firman-Nya yang bermaksud: “…dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang berlebih-lebihan” (Surah al-A’raf, ayat 31).

Oleh yang demikian, setiap daripada kita perlu menjauhi sifat membazir kerana tabiat ini bukan sahaja amalan syaitan, malah merugikan diri sendiri dan negara. Pernahkah kita terfikir, lambakan sisa makanan yang dibazirkan memberi kesan yang buruk ke atas alam sekitar?

Penghasilan gas rumah hijau.

Sisa makanan yang dibuang ke tapak pelupusan sampah misalnya akan melalui proses pereputan yang seterusnya menyumbang kepada penghasilan gas rumah hijau. Dianggarkan, penghasilan gas rumah hijau daripada tapak-tapak pelupusan sampah adalah sebanyak 12% daripada jumlah keseluruhan penghasilan gas rumah hijau di Malaysia. Sisa makanan yang mereput di tapak-tapak pelupusan sampah juga adalah punca utama pelepasan gas metana. Gas ini didapati 21 kali ganda berbahaya daripada gas karbon dioksida, dan menjadi gas perosak lapisan ozon yang utama. Gas-gas berbahaya ini menyumbang kepada perubahan iklim dunia dan pemanasan global.

Pencemaran udara

Sisa makanan yang dibuang ke tapak pelupusan sampah juga menjadi penyumbang kepada pencemaran udara. Selain bau busuk sisa makanan, gas metana yang terhasil daripada proses pereputan sisa makanan di tapak-tapak pelupusan sampah juga boleh menyebabkan berlakunya letupan jika dibiarkan terkumpul dalam permukaan tanah yang tertutup. Letupan atau kebakaran yang berlaku di tapak pelupusan akan menyebabkan jerebu dan membawa kepada kemerosotan jarak penglihatan akibat daripada asap kebakaran tersebut. Udara yang tercemar ini boleh menjejaskan tahap kesihatan awam.

Pencemaran ke atas sumber air.

Selain itu, sisa makanan yang dibuang ke tapak pelupusan sampah boleh menyebabkan berlakunya pencemaran ke atas sumber air. Air yang tercemar akan mengalir dari tapak pelupusan sampah, seterusnya masuk ke dalam sumber air bawah tanah. Manakala, air hujan yang mengalir di tapak pelupusan sampah pula akan membawa sebahagian besar bahan cemar daripada sisa makanan, seterusnya mengalir ke sistem perparitan dan sungai.  Ini akan menyebabkan ekosistem sungai tercemar dan menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai, yang akhirnya akan menjejaskan hidupan akuatik yang menghuni di dalam ekosistem berkenaan.

Jangkitan penyakit seperti penyakit kulit

Pengurusan sisa makanan yang tidak sistematik pula boleh menyebabkan jangkitan penyakit seperti penyakit kulit akibat daripada sentuhan secara fizikal dengan sisa berkenaan. Persekitaran yang kotor seperti tapak pelupusan sampah pula menjadi tempat pembiakan vektor pembawa penyakit seperti lalat, nyamuk, tikus dan sebagainya yang boleh mengundang wabak penyakit. Misalnya, kitaran pembiakan lalat dalam cuaca panas adalah lebih kurang tujuh hari, dan merupakan vektor pembiakan penyakit yang efektif. Nyamuk yang membiak di kawasan takungan air di tapak pelupusan sampah pula berupaya menyebarkan penyakit malaria dan demam denggi. Manakala, kehadiran tikus di kawasan tapak pelupusan sampah pula boleh menyebarkan penyakit berbahaya seperti kencing tikus.

Pembaziran perbelanjaan harian dan isi rumah

Pembaziran makanan bukan sahaja memberi kesan ke atas alam sekitar dan kesihatan, sebaliknya turut melibatkan isu pembaziran perbelanjaan harian dan isi rumah, serta implikasi kos kepada negara. Sisa makanan yang dibuang di tapak-tapak pelupusan sampah perlu diproses untuk dilupuskan. Pada masa ini, tapak pelupusan sisa pepejal sedia ada di Malaysia adalah sebanyak 296. Bagi mengurus dan menyelenggara tapak-tapak pelupusan berkenaan, kerajaan terpaksa memperuntukkan kos yang tinggi saban tahun. Didapati, kos perbelanjaan sebanyak 1.3 bilion diperlukan setiap tahun untuk pengurusan sisa pepejal di beberapa buah negeri di Malaysia. Malahan, ekoran pembaziran makanan kerajaan terpaksa memperuntukkan kos melebihi RM2 bilion untuk pengurusan sisa pepejal pada tahun 2017 sahaja. Bayangkan, berapa banyak kos yang dapat dijimatkan sekiranya kita semua tidak melakukan pembaziran makanan? Justeru, sama-sama kita elakkan pembaziran makanan agar kos pengurusan dapat dijimatkan

Usaha mengurangkan pembaziran makanan akan menjadi lebih berkesan sekiranya bermula dengan kita sebagai seorang pengguna. Ambillah makanan secara berpada-pada agar tiada juadah yang dibazirkan, kerana setiap suap yang dibuang mampu mengenyangkan mereka yang terpaksa berlapar disebabkan oleh kemiskinan dan kekurangan makanan. Paling penting, tindakan kita sebagai individu dalam mengelakkkan pembaziran makanan mampu menyelamatkan alam sekitar.

2,973 total views, 3 views today

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here