Wanita Dan Puasa

0
57

WANITA adalah golongan yang sangat menjaga soal ibadah puasa, malah dalam keadaan haid pun, mereka sanggup berlapar. Lazimnya wanita sejak kecil lagi sudah dibiasakan dengan berpuasa oleh ibu bapa mereka.

Namun sudahkah kita, para wanita, menilai adakah puasa kita lebih baik dari sebelumnya. Adakah puasa semasa kanak-kanak terus dihayati sehingga kini? Kemajuan diri seseorang biasanya dinilai dari setahun ke setahun, maka mari kita nilai puasa kita tahun ini adakah lebih baik dari sebelumnya.

Panduan Asas Fiqah Wanita

Wanita dan Puasa

Asas fiqah wanita dalam persoalan puasa tidak jauh bezanya dengan lelaki, tetapi ada keistimewaan dan sedikit kelainan yang Allah anugerahkan khusus untuk mereka. Wanita ada “waktu rehat” daripada puasa, namun ramai juga yang mengambil kesempatan daripadanya.

Wanita fitrahnya akan di datangi haid, nifas dan wiladah Sesetengah wanita diuji dengan darah istihadah

Tidak terkecuali di bulan Ramadan, golongan wanita yang normal didatangi darah haid. Inilah yang perlu benar-benar diberi perhatian.

Mereka perlu tahu berapa hari yang wajib ditinggalkan puasa. Berapa hari yang wajib diganti puasa. Perlukah diteruskan puasa wanita mengandung atau sedang menyusui bayi? Bagaimana pula jika tidak sempat diganti puasa tahun lepas? Terlalu banyak soalan yang berkisar dengan keadaan diri wanita perlu diketahui.

Wanita perlu sensitif dengan perkara ini, supaya ibadah puasa yang dilaksanakan tepat mengikut panduan syariat. Bukan itu sahaja, mereka juga perlu tahu bahawa semasa bercuti puasa juga mereka akan beroleh pahala dengan beberapa ibadah tertentu.

Jangan dibiarkan ia berlalu begitu sahaja. Selain itu, perhatikan beberapa perkara berikut sepanjang melalui bulan ibadah ini.

Keizinan Suami

Bulan Ramadan adalah bulan umat Islam menjalankan ibadah puasa. Wanita yang suci dari haid dan nifas ketika itu wajib berpuasa, walaupun suaminya tidak mengizinkan. Hal ini kerana tidak boleh mentaati arahan suami mana-mana yang bercanggah dari arahan Allah

Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud, “Tiada ketaatan terhadap makhluk (suami) dalam perkara yang menjurus kepada maksiat terhadap Pencipta (Allah Taala).” (Riwayat al-Tirmizi)

Berlainan keadaannya mengenai puasa sunat. Isteri yang hendak berpuasa sunat wajib meminta izin daripada suaminya kerana izin daripada suami merupakan satu syarat bagi isteri yang ingin berpuasa sunat. Namun isteri boleh berpuasa sunat tanpa izin suaminya apabila suaminya sakit atau tiada di rumah kerana bermusafir.

Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

“Tidak diharuskan bagi wanita berpuasa sedangkan suaminya berada di rumah, melainkan dengan izin suaminya. Dan janganlah kamu mengizinkan seseorang masuk ke dalam rumahnya melainkan dengan izinnya (suami).” (Riwayat alBukhari, No. 4899)

Wanita Hamil

Wanita yang sedang hamil atau sedang menyusukan bayi, diberi keringanan kepada mereka untuk berbuka jika dia tidak berdaya meneruskan puasa kerana ditakuti akan membawa mudarat kepada diri ataupun janin yang dikandungi atau bayi yang disusui. Walau bagaimanapun, mereka wajib menggantikan kembali puasa yang ditinggalkan itu.

Sungguhpun begitu bagi mereka yang meninggalkan puasa kerana bimbang janin tidak mendapat makanan yang cukup atau bayi tidak mendapat susu yang cukup, dia perlu membayar fidyah pada setiap hari yang ditinggalkan

Merasa Makanan

Wanita biasanya akan memasak pelbagai juadah untuk berbuka puasa. Dalam situasi inilah, wanita sering berasa keliru adakah puasa mereka terbatal jika merasa makanan yang dimasak? Tanpa merasa makanan itu bagaimana hendak memastikan makanan itu cukup perasa atau tidak?

Sebenarnya hukum merasa makanan itu adalah makruh kecuali bagi mereka yang benar-benar memerlukannya sebagai contoh pembuat roti yang perlu memastikan segala bahan yang dicampurkan dalam bancuhan roti itu adalah cukup agar rotinya tidak rosak.

Kata-kata Wanita

Wanita terkenal dengan aktiviti berkumpul dan berbual-bual. Kadangkala perbuatan seperti itu dibimbangkan mengarah kepada perbuatan mengumpat, berkata kotor dan berdusta. Ketika bulan yang mulia ini lah,wanita digalakkan untuk sentiasa berzikir dan menjauhi perkara-perkara yang tidak baik. Perbuatan mengumpat bukan sahaja mengurangkan pahala puasa tetapi menyebabkan amalannya tidak dinilai oleh Allah.

Tetap Berpuasa Meskipun dalam Keadaan Junub

Daripada Aisyah r.ha, dia berkata: “Adalah Rasulullah s.a.w. bangun dalam keadaan sudah terbit fajar sedangkan dia berjunub dengan isterinya, Baginda terus mandi dan berpuasa.” Muttafaq ‘Alaih

Selain itu hadis ini menunjukkan bahawa melakukan hubungan suami isteri pada malamnya adalah harus. Allah Taala membolehkan bagi orang yang hendak berpuasa supaya berniat pada malam hari sebelum berjimak dengan isterinya dan tidur. Jadi, kalau dia bangun dalam keadaan berjunub tidak membatalkan niat puasanya.

Sebahagian umat Islam masa kini tidak tahu akan hukum ini lalu menganggap puasa mereka terbatal. Hal ini tidak benar kerana Rasulullah s.a.w sendiri telah menunjukkan teladan kepada umatnya yang terkebelakang

Qada Puasa

Apabila seseorang wanita itu didatangi haid dan nifas, mereka mestilah mengganti semula puasa yang telah ditinggalkan mengikut jumlah hari yang ditinggalkan. Puasa pada hari-hari lain yang dibolehkan untuk menggantikan puasa yang tertinggal. Tidak diwajibkan melakukannya secara segera tetapi apabila ada kelapangan waktu hendaklah dilakukan sebelum masuk Ramadan berikutnya.

610 total views, 1 views today

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here