Bolehkah Membaca Al-Fatihah Di Dalam Solat Dalam Bahasa Inggeris? Ini Kata Mufti…

0
181
Ini 3 Doa Yang Tidak Boleh Dilupakan Saat Sujud Terakhir Dalam Shalat

Hukum Membaca Surah al-Fatihah dalam Solat

Berkenaan isu ini, para ulama’ telah khilaf kepada dua pendapat:

Pertama: Jumhur ulama’ dari kalangan Maliki, Syafi’e dan Hanbali berpendapat al-Fatihah merupakan rukun daripada rukun solat berdasarkan nas yang akan disebutkan nanti.

Kedua: Mazhab Hanafi berpendapat membaca al-Fatihah termasuk dalam wajib solat dan bukan rukun solat kerana sabitannya berdasarkan khabar wahid. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 32/9)

Kami berpendapat, hujah jumhur ulama’ adalah lebih kuat kerana itulah yang dilazimi oleh Rasulullah SAW, para sahabat, tabi’in dan salafus soleh.

Bacaan al-Fatihah dalam Solat dengan Bahasa Selain Arab

Solat mempunyai rukun-rukunnya yang tersendiri yang antaranya merangkumi rukun fi’li (perbuatan), rukun qauli(ucapan) dan rukun qalbi (hati). Membaca al-Fatihah merupakan salah satu daripada rukun qauli yang wajib dibaca dalam solat, selain bacaan tasyahhud dan selawat ke atas Nabi SAW. Manakala bacaan-bacaan lain adalah sunat.

Solat tidak sah jika tidak membaca surah al-Fatihah. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin al-Somit R.A, Rasulullah SAW bersabda:

لَا صَلَاةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya“Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca al-Fatihah.”

Riwayat al-Bukhari (756) dan Muslim (900)

Begitu juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى صَلاَةً لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ فَهْىَ خِدَاجٌ. يَقُولُهَا ثَلاَثًا

Maksudnya“Barangsiapa yang melaksanakan solat dan tidak membaca al-Fatihah di dalamnya, maka solatnya itu kurang.” Perkataan ini diulang sehingga tiga kali.

Riwayat Muslim (907)

Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: “Membaca al-Fatihah bagi yang mampu untuk membacanya merupakan kefarduan dan rukun yang mana tidak diterjemahkan kepada bahasa selain dari bahasa Arab dan juga tidak boleh diganti dengan bacaan yang lain daripada al-Quran. Ianya juga wajib dibaca pada kesemua solat sama ada solat fardu mahupun solat sunat.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/283)

Jika seseorang terlupa membaca al-Fatihah, kewajipan tersebut tidak tergugur daripadanya. Pandangan ini adalah kesepakatan yang telah disebut oleh jumhur ulama yang mazhab Syafie. Inilah yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam al-Majmuk. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/288)

Manakala berkenaan bacaan makmum ketika bersama imam, Imam Nawawi menyebut:

وَاَلَّذِي عَلَيْهِ جُمْهُورُ الْمُسْلِمِينَ الْقِرَاءَةُ خَلْفَ الْإِمَامِ فِي السِّرِّيَّةِ وَالْجَهْرِيَّةِ

MaksudnyaJumhur umat Islam berpendapat wajib membaca al-Fatihah di belakang imam sama ada pada solat Sirr (perlahan) atau Jahr (kuat). (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/365)

Imam al-Baijuri ada menjelaskan berkenaan beberapa syarat yang perlu dijaga ketika membaca surah al-Fatihah dalam sembahyang, antaranya:

  • Membacanya dalam bahasanya yang asal iaitu bahasa Arab dan tidak menterjemahkannya ke dalam bahasa lain, kerana jika diterjemahkan akan hilanglah mukjizat al-Qur‘an itu.
  • Khusus bagi orang yang tidak mampu membaca surah al-Fatihah, hendaklah membaca penggantinya dari surah-surah lain juga dalam bahasa Arab. (Lihat Hasyiyah al-Baijuri, 1/290. Lihat juga al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/255)

Kami nyatakan juga daripada pendapat al-Baijuri, bahawa jika sekiranya tidak mampu membaca apa-apa hatta doa sekalipun, hendaklah dia berdiri seperti biasa sekadar membaca al-Fatihah. (Lihat Hasyiyah al-Baijuri, 1/290)

Pendapat Ibnu Qudamah dalam Mazhab Hanbali: Ibnu Qudamah al-Maqdisi dalam kitab al-Mughni menyebut: Tidak memadai membaca al-Fatihah selain daripada bahasa Arab serta tidak boleh menukarkan lafaznya dengan lafaz Arab yang lain sama ada seseorang itu baik bacaannya dalam bahasa Arab ataupun tidak. Inilah juga pendapat Imam Syafi’e, Abu Yusuf dan Muhammad ibn Hasan al-Syaibani. Sedangkan Abu Hanifah berpendapat harus membaca demikian itu selain daripada bahasa Arab. Para ashabnya menambah, ini bagi mereka yang tidak baik dalam penguasaan bahasa Arab. (Lihat al-Mughni, 1/350)

 

Syor dan Cadangan

Kami nyatakan seperti berikut:

  • Boleh mulakan dengan menghafal perkara-perkara rukun terlebih dahulu seperti al-Fatihah. Mungkin boleh hafal secara beransur-ansur mengikut potongan ayat seperti menghafal satu hari satu ayat atau satu minggu satu ayat. Dan kemudian menambah lagi sedikit demi sedikit secara beransur-ansur. Allah SWT berfirman:

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

Maksudnya“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?”

Surah al-Qamar (17)

Imam Ibn Kathir ketika menjelaskan ayat di atas, menukilkan pendapat Mujahid yang berkata: “Yakni, bacaannya menjadi mudah.” Al-Suddi pula berkata: “Ertinya, Kami mudahkan bacaannya bagi semua lidah.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/135)

Kemudian boleh meneruskan hafalan rukun-rukun qauli yang lain seperti bacaan tahiyat dan selawat dengan memulakan dengan hafalan yang ringkas dahulu.

  • Adapun perbuatan menterjemahkan mengikut pandangan jumhur ulamak tidak dibenarkan kecuali satu pendapat dalam mazhab Hanafi yang menyatakan boleh untuk membaca seperti terjemahan akan tetapi diberi tempoh tertentu.
  • Kepada yang tidak mampu baca al-Fatihah dalam bahasa Arab, bacalah ayat al-Quran seperti membaca “بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ” yang diulang tujuh atau lapan kali seolah-olah sudah menyamai surah al Fatihah.
  • Jika langsung tidak boleh membaca mana-mana ayat daripada al-Qur’an, maka bolehlah orang itu menggantikannya zikir-zikir sebagai ganti tujuh ayat surah al-Fatihah berdasarkan hadis berikut:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ: إِنِّي لاَ أَسْتَطِيعُ أَنْ آخَذُ مِنَ القُرْآنِ شَيْئًا ، فَعَلِّمْنِي مَا يُجْزِئُنِي مِنهُ ، قَالَ: قُلْ: سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ ، وَلاَ إِلٰهَ إِلاَّ اللَّهُ ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ.

MaksudnyaTelah datang seseorang kepada Nabi SAW, lalu beliau berkata kepada Baginda: Sesungguhnya aku tidak mampu mempelajari sesuatupun daripada al-Qur’an, maka ajarkanlah aku (bacaan) apa yang memadai bagiku (selain) daripada al-Qur’an.

Lalu Baginda SAW pun menjawab: Bacalah:

سُبْحَانَ اللَّهِ ، وَالحَمْدُ لِلَّهِ ، وَلاَ إِلٰهَ إِلاَّ اللَّهُ ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّه الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ

Maksudnya(Maha suci Allah, dan segala puji hanya bagi Allah, dan tiada tuhan selain Allah, dan Allah Maha Besar, dan tiada daya serta tiada kekuatan kecuali dengan (keupayaan dan kekuatan) Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar).

Riwayat Abu Daud (832), al-Baihaqi
(4148) dan Ahmad (19138)

Penutup

Islam adalah satu agama yang lengkap, menyeluruh dan sentiasa sesuai dengan kondisi penganutnya. Allah SWT berfirman:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Allah SWT turut berfirman:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya“Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu;…”

(Surah al-Taghabun: 16)

Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk terus mendalami ilmu agama dan menyebarkan kefahaman dan keindahan Islam kepada masyarakat sekeliling kita.

Kami akhiri Bayan Linnas pada kali ini dengan berdoa kepada Allah SWT:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

Sumber Rujukan: Mufti Wilayah Persekutuan

1,185 total views, 2 views today

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here