Hasil Berguru Dengan Pelancong, Remaja Fasih Bertutur Bahasa Arab

0
212

LANGKAWI, 14 April (Bernama) — Sebaik pelancong dari negara Timur Tengah tiba di BC Nuri Floating Restauran, remaja berusia 14 tahun ini akan menyambut mereka dalam bahasa Arab dan seterusnya menerangkan mengenai ikan serta hidupan laut lain yang terdapat di sangkar ikan dan restoran terapung tersebut.

Kefasihan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hangat, Muhammad Faris Izhar Mat Yusof berbahasa Arab mengujakan pengunjung dari Timur Tengah tambahan pula loghat Arabnya begitu baik, semuanya hasil usaha keras sejak lebih setahun lalu.

Berkongsi kemahiran tersebut kepada Bernama, Muhammad Faris berkata pada awalnya sebelum bekerja di sangkar ikan dan restoran terapung tersebut, dia selalu mengikuti bot pelancong yang membawa pengunjung ke lokasi yang terletak di Tanjung Rhu itu.

“Bila kawan-kawan pemandu bot pelancong tersebut bercakap dengan pengunjung dari Timur Tengah saya dengar dan hafal setiap perkataan yang disebut. Kemudian bila mula bekerja di sini kira-kira setahun yang lalu, saya belajar pula dari kawan-kawan sekerja khususnya mengenai jenis ikan seperti ikan kerapu, siakap putih yang ada di sangkar ini dalam bahasa Arab.

“Kemahiran itu diasah lagi menerusi perbualan dengan pelancong, sebagai contoh ada jenis atau nama ikan tidak sama mengikut negara di Timur Tengah, di Arab Saudi sebutannya lain di Oman pula lain. Jadi saya belajar pula dari pelancong setiap nama ikan tersebut mengikut sebutan di negara mereka, saya salin setiap maklumat dalam buku nota kecil dan hafal,” katanya yang bekerja secara sambilan di lokasi tersebut selepas waktu persekolahan.

Lebih setahun tidak jemu belajar memperbaiki kemahirannya, Muhammad Faris yang bekerja secara sambilan untuk membantu keluarganya kini mampu tersenyum tanpa pendidikan formal, Bahasa Arabnya semakin baik hasilnya perbualan ketika melayani pelancong yang datang semakin mudah.

“Saya ambil masa antara enam ke tujuh bulan untuk fahami setiap perkataan seterusnya mahirkan diri semasa bertutur. Minat serta keperluan untuk memudahkan kerja menguatkan hati saya untuk terus belajar memahirkan diri, ada juga bahagian yang agak sukar tetapi saya berpegang kepada niat kalau betul-betul minat inshallah kita pasti boleh,” katanya yang juga mahir bertutur Bahasa Inggeris.

Memiliki kemahiran serta fasih berbahasa Arab sentiasa memberi lebih kelebihan kepada penuturnya, perkara tersebut diakui Muhammad Faris kerana pelancong dari Timur Tengah akan lebih mesra ketika berbual.

“Ada juga pelancong yang terkejut saya lancar bercakap dalam Bahasa Arab. Seterusnya perbualan atau penerangan saya akan jadi lebih mudah kerana sudah berjaya ‘pikat hati’ mereka.

“Lagipun pelancong Timur Tengah ini suka jika perbualan dilakukan dalam Bahasa Arab, selain itu jika kita berjenaka dengan anak-anak mereka itu menambah lagi kemesraan,” kata anak bongsu daripada enam adik beradik ini.

Video kefasihan remaja yang berasal dari Kampung Pasir Hitam ini bertutur dalam Bahasa Arab tular baru-baru ini, Muhammad Faris mengakui sedikit teruja dengan perkara tersebut.

“Setiap kali nak datang kerja, emak saya (Habshah Hassan) yang hantar menggunakan motosikal hingga ke Jeti Tanjung Rhu. Selepas video tersebut tular emak ada cakap bangga juga dengan saya, di sekolah rakan dan guru pun ada puji, mereka ucapkan tahniah, guru pun beri dorongan,” katanya.

— BERNAMA

1,144 total views, 1 views today

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here