Jaga Etika Di Alam Siber, Usah Buka Aib

0
193

ISLAM adalah agama yang amat menitikberatkan mengenai pembangunan manusia kerana ia adalah asas kepada pembangunan tamadun manusia. Hubungan dengan Allah dan hubungan antara sesama manusia, kedua-duanya penting dalam Islam.

Pada era teknologi maklumat, kadang-kadang manusia kurang menitikberatkan terhadap etika hubungan interpersonal di alam siber sehingga timbul pelbagai masalah seperti konflik dan permusuhan sesama manusia sama ada konteks sosial, politik atau ekonomi.

Islam mampu memberi panduan kehidupan seharian khususnya dalam era teknologi kini. Islam menekankan betapa penting seseorang itu berilmu supaya matlamat dalam hubungan antara individu terhasil dengan berkesan dan memberi manfaat kepada orang lain. Hal ini penting kerana orang yang berpengetahuan akan berbicara atau berkomunikasi dengan individu lain dalam bentuk yang baik dan mengetahui kesan sesuatu tindakan, sama ada dosa atau pahala.

Berbeza dengan mereka yang tidak mempunyai pengetahuan, akan berbicara menurut nafsu sehingga sanggup menyebarkan pelbagai fitnah untuk tatapan umum di alam siber, apatah lagi merahsiakan maklumat diri.

Jaga maruah diri dan keluarga

Selain itu, jaga maruah diri dan keluarga daripada segala bentuk yang boleh menyebabkan berlaku kemungkaran di alam siber kerana ia akan memberi kesan buruk jika hal itu sentiasa dikongsi dan disebarkan di alam siber.

Islam menyarankan supaya mengelak diri daripada terpengaruh atau terjebak dengan ulasan dan komentar orang bodoh sombong dan sesetengah ilmuwan yang tidak menginsafi diri. Islam bukan sahaja meletakkan ukuran kepada kredibiliti, kepuasan dan kepercayaan terhadap seseorang yang dilihat kepada jumlah ramai pengikutnya (followers).

Bahkan perlu merealisasikan hubungan persahabatan sesama manusia dengan cara meningkatkan dari sudut pengenalan dan persefahaman sehingga membentuk persahabatan yang benar-benar tulus dan ikhlas dapat mencari erti persahabatan tulen.b

Rakan sejati tidak akan melakukan perkara yang boleh menyinggung hati dan perasaan seseorang. Justeru, sahabat yang tidak boleh dimanfaatkan ketika susah mampu menjadi musuh kepada seseorang dan jauh sekali menjadi sebagai rakan. Rakan sejati sentiasa memberi komitmen dalam persahabatan sama ada dalam keadaan suka atau duka.

Bina persepsi yang baik, saling menghormati, tidak membuat persepsi negatif, mencerca dan memfitnah di antara satu sama lain adalah cara terbaik untuk membina interpersonal di alam siber. Sesiapa menghormati orang lain, tentu dia akan dihormati. Begitu juga siapa menghina orang lain, tentu dia juga akan dihina.

Persepsi buruk adalah hasil sifat dengki yang ada pada seseorang apabila dia berasa kurang senang jika orang lain berada dalam kebahagiaan dan rasa bergembira jika orang lain dalam keadaan menderita.

Hubungan interpersonal yang baik akan disegani dan dihormati masyarakat serta mampu menambah pahala amal seseorang selepas dia meninggal dunia. Dengan hubungan interpersonal, ia berjaya memupuk kasih sayang dan saling menggembirakan kedua-dua belah pihak dalam pergaulan seharian termasuk di laman sosial.

Usah mencerca, angkuh

Ketika berinteraksi dan membuat sebarang komentar di alam siber, seseorang perlu mengambil langkah sewajarnya. Antaranya jangan bersikap mencerca dan angkuh, sebaliknya beri pandangan dan komentar dengan sopan dan beradab. Teguran dan nasihat kepada seseorang perlu sesuai pada tempat dan keadaan.

Jangan sesekali menegur seseorang di alam siber secara terbuka sehingga boleh mengaibkan seseorang dan menjatuhkan maruahnya. Lebih baik membuat teguran kerana Allah dan secara bersendirian terhadap orang yang terbabit supaya dia tidak rasa malu.

Justeru, gunakan kemudahan teknologi di alam siber dengan cara bermanfaat bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi untuk orang lain juga. Ingat dosa dan pahala ketika berkongsi dan menyebarkan sesuatu maklumat serta berita supaya tidak menimbulkan fitnah yang boleh menghancurkan hubungan interpersonal.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Citra Universiti Kebangsaan Malaysia

 

 

 

 

 

1,037 total views, 1 views today

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here