fbpx
Tuesday, July 5, 2022
Home Tips Tips Harian Cegah Penyakit Tiga Serangkai Seawal Usia

Cegah Penyakit Tiga Serangkai Seawal Usia

0
373

KENCING manis, tekanan da­­rah tinggi dan penyakit jantung merupakan tiga penyakit paling membunuh di ne­gara ini. Lebih menakutkan, ia saling berkait antara satu sama lain dan atas sebab itu juga ia di­sebut penyakit tiga serangkai.

Berdasarkan kajian yang dila­kukan oleh Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan kira-kira dua tahun lalu, dianggarkan 3.5 juta iaitu 17.5 peratus penduduk negara ini menghidap kencing manis atau diabetes.

Jumlah itu jauh berbeza de­ngan peratusan sekitar tahun 1960-an yang mana pada ketika itu hanya satu hingga dua peratus sahaja yang menghidapinya.

Peningkatan secara menda­dak penyakit itu secara tidak lang­sung menyangkal dak­waan yang mengatakan pe­nyakit itu hanya dihidapi oleh orang-orang kaya dan yang tinggal di bandar.

Bahkan lebih membimbangkan, statistik turut menunjukkan peningkatan kes dalam kalangan usia muda yang meningkat kira-kira tiga kali ganda sejak 15 tahun lalu.

Percaya atau tidak, pesakit serangan jantung termuda yang pernah dirawat di negara ini ha­nya berusia 19 tahun. Itu belum mengambil kira kes kematian mengejut akibat masalah jantung dalam kalangan generasi muda yang semakin banyak berlaku.

Pengarah Perubatan Ajwa Cor­poration, Dr. Leny Marlina Muskimin berkata, peningkatan jumlah pengidap diabetes dan tekanan darah tinggi merupakan penyumbang utama kes sera­ngan jantung melibatkan golongan mu­da di negara ini dengan peratusan yang semakin membimbangkan.

Beliau berkata, diabetes menyebabkan komplikasi pada buah pinggang, mata dan jantung ma­nakala tekanan darah tinggi pula menyebabkan gangguan pa­da pembuluh darah yang merosakkan sistem badan terutama pada bahagian jantung dan otak.

Katanya, penyakit yang sama juga dipercayai mempunyai ka­i­tan dengan gangguan, pembesaran dan keradangan pada otot jantung yang menjadi punca kes kematian mengejut termasuk da­lam kala­ngan mereka yang aktif bersukan.

Keadaan itu katanya menjadi lebih membimbangkan kerana tahap kesedaran masyarakat terhadap bahaya penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi.

“Apabila bercakap mengenai diabetes dan darah tinggi, ramai tidak memandang serius tentang risiko dan ancaman penya­kit jantung yang ‘dipakejkan’ bersama.

“Ada yang beranggapan bahawa diabetes boleh dikawal pada bila-bila masa dengan mengurangkan makanan yang manis manakala darah tinggi pula de­ngan mengurangkan makanan masin.

“Sedangkan hakikat sebenar ti­a­da u-turn untuk pulih sepenuhnya setelah menghidapi salah satu penyakit ini,” katanya.

Tambah beliau, selain kes melibatkan pengidap berusia muda, ibu bapa juga tidak seharusnya memandang ringan faktor obesiti yang boleh menyebabkan diabetes pada kanak-kanak akibat pemakanan tidak sihat.

“Obesiti yang berpunca daripada kandungan gula yang tinggi dalam badan boleh merosakkan sistem saraf bahkan dalam ke­adaan tertentu boleh membawa maut.

“Kes terbaru melibatkan mang­sa berusia empat tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat kegagalan jantung kerana obesiti melampau,” ujarnya.

Justeru itu beliau menekan­kan pentingnya langkah pence­gahan diabetes dimulakan sejak seawal usia melalui penjagaan pemakanan dan gaya hidup di samping melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

“Masyarakat perlu meman­dang serius masalah ini supaya dapat mencegahnya lebih awal kerana kos untuk merawat terlalu tinggi,” ujar pengasas Ajwa Corporation Sdn. Bhd. itu lagi.

Leny Marlina merupakan sa­lah seorang daripada penerima pembiayaan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang berjaya menceburi bidang perniagaan perubatan.

Perniagaan yang dimulakan pada tahun 2005 di atas satu lot kedai di Seksyen 7, Shah Alam kini beroperasi di premis tiga lot kedai dan satu lagi cawangan di Seksyen 15, Shah Alam.

Klinik Ajwa yang kini mempunyai kepakaran 10 orang doktor dan 15 orang jururawat menawarkan pelbagai perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, ibu me­ngandung, selepas kelahiran dan pengimbasan bayi ultrasound 3D/4D.

“Kami berterima kasih kepada PUNB di atas dua pembiayaan perniagaan yang ka­mi terima pada 2005 dan 2009.

“Bantuan kewangan dan juga sokongan pentadbiran perniagaan yang tidak pernah putus daripada PUNB banyak membantu kami mengembangkan operasi syarikat sehingga berjaya pada tahap ini,” kata ibu kepada enam orang anak itu lagi.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/cegah-penyakit-tiga-serangkai-seawal-usia-1.508638

2,550 total views, 1 views today

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here