Solat Yang Tersasar Sedikit Dari Kiblatnya

0
118

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi ﷺ, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kesudahan.

Kami huraikan dahulu kedudukan menghadap kiblat sebagai syarat sah solat. Kami memetik huraian para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji:

“Apa yang dimaksudkan dengan kiblat ialah Kaabah, manakala menghadap kiblat bermaksud Kaabah berhadapan dengannya. Dalil bagi syarat ini ialah firman Allah SWT:

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

Maksudnya: Maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjid al-Haram (Kaabah), dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya.

(Surah al-Baqarah: 150)

Begitu juga hadith, Rasulullah SAW bersabda kepada orang yang diajarnya cara-cara bersolat:

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ

Maksudnya: “Apabila engkau hendak bersolat berwudhu’lah dengan sempurna, kemudian menghadaplah ke kiblat dan bertakbir.”

Riwayat al-Bukhari (5897) dan Muslim (397)

Maksud Masjid al-Haram di dalam ayat dan maksud kiblat di dalam hadith tersebut ialah Kaabah…Orang yang bersolat sama ada berhampiran Kaabah yang dapat dilihatnya apabila dikehendaki atau jauh daripadanya yang tidak mungkin dilihat. Orang yang berhampiran dengan Kaabah wajib menghadap Kaabah tersebut dengan yakin manakala yang jauh dari Kaabah wajib menghadapnya dengan berpandukan petunjuk-petunjuk yang kukuh sekiranya tidak terdapat petunjuk yang pasti dan tepat.”

Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/127-128)

Menghadap Kaabah itu yakni menghadap dengan dada, bukan dengan kepala bagi orang yang solat berdiri dan duduk; dengan kepala dan dada bagi orang yang solat baring atas lambung; dan dengan kepala dan hujung jemari kaki bagi orang yang solat dengan terlentang. Rujuk Kasyifah al-Saja (ms. 197); al-Taqrirat al-Sadidah (ms.200).

Bagi mereka yang jauh dari Kaabah atau mereka yang terhalang daripada melihat terus kepada Kaabah, tidak memudaratkan solat jika posisi agak ke kanan sedikit dan ke kiri sedikit daripada ain Kaabah, kerana itu adalah kesilapan yang tidak terlalu jauh, selagi mana tidak tersasar daripada arah Kaabah. Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/217).

Berdasarkan keterangan dan fakta di atas kami cenderung menyatakan bahawa tersasar sedikit ke kanan seperti mana yang disebut tidak memudaratkan kesahihan solat. Namun, kami berpendapat kaedah yang paling baik ialah dengan menggunakan perkhidmatan Unit Falak Jabatan dan Pejabat Mufti di negeri yang surau pejabat berkenaan berada. Ini kerana penentuan kiblat menggunakan kompas mungkin mengalami sedikit perbezaan berbanding kaedah penetapan arah kiblat menggunakan arah matahari dengan bantuan alat-alat moden yang lebih tepat. Pastinya dengan penentuan Unit Falak dan sijil yang dikeluarkan akan menghilangkan keraguan dan kontroversi yang berlaku lalu Jemaah boleh solat dengan lebih tenang dan khusyuk.

Kami doakan agar masalah ini diselesaikan dengan sebaik mungkin:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

MaksudnyaYa Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.

Wallahua’lam.

Sumber : Mufti Wilayah Persekutuan

798 total views, 2 views today

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here