Nak hidup sehingga lebih 90 tahun?

0
149

MAHU umur panjang sehingga melebihi 90 tahun? Tidak mustahil, sebaliknya hanya boleh dilakukan dengan mengamalkan gaya hidup sihat, seperti lakukan senaman 60 minit setiap hari.

Kajian membuktikan usia lelaki dan wanita mampu mencapai usia emas, dibuktikan menerusi penyelidikan oleh Jabatan Epidemiologi, Pusat Perubatan Universiti Maastricht di Belanda.

Menerusi kajian itu wanita yang melakukan aktiviti fizikal selama sejam setiap hari berpotensi tinggi untuk mencapai usia sehingga 90 tahun berbanding mereka yang hanya melakukan senaman selama 30 minit.

Kajian Cohort Belanda (NLCS) diterbitkan dalam Jurnal Epidemiology dan Kesihatan Masyarakat dilakukan sejak 1986 membabitkan seramai 120,000 peserta lelaki dan wanita dibuat bagi mengumpul maklumat berkaitan tabiat gaya hidup golongan terbabit.

LAKUKAN senaman kira-kira satu jam setiap hari boleh mencapai usia 90 tahun. Foto hiasan

Kesemua peserta dipantau sejak 33 tahun lalu. Hasilnya, seramai 4,161 wanita dan 3,646 lelaki berusia antara 68 dan 70 tahun memberikan maklumat mereka mengenai aktiviti fizikal dilakukan mereka setiap hari.

Maklumat tambahan penting turut membabitkan mengenai berat, ketinggian dan berat ketika berumur 20 tahun.

Laporan dengan pemantauan itu mendapati saiz tubuh dan aktiviti fizikal harian boleh mempengaruhi jangka hayat hidup seseorang termasuk amalan gaya hidup masing-masing.

Antara aktiviti fizikal yang dilakukan termasuk membawa haiwan peliharaan berjalan-jalan, berkebun, melakukan kerja pertukangan sendiri, bersukan dan berbasikal ke tempat kerja.

Bagi mendapatkan hasil pemantauan lebih tepat mengenai jangka hayat manusia, setiap peserta wanita dan lelaki dibahagi kepada empat kategori.

Mereka yang melakukan senaman fizikal selama 30 minit sehari; antara 30 hingga 60 minit sehari; antara 60 hingga 90 minit sehari serta 90 minit atau lebih sehari.

Mereka yang terbabit dalam kajian itu dipantau sehingga mencapai usia 90 tahun atau sehingga tempoh kematian.

Justeru, seramai 7,807 orang yang dipantau, hanya 944 wanita dan 433 lelaki berjaya menjangkau hidup sehingga usia 90 tahun.

KAJIAN Jabatan Epidemiologi Pusat Perubatan Universiti Masstricht di Belanda, menunjukkan senaman setiap hari lebih 30 minit mampu kekalkan usia melebihi 90 tahun.

Keputusan kajian juga mendapati, 21 peratus wanita yang melakukan aktiviti fizikal antara 30 hingga 60 minit sehari berupaya mencapai usia 90 tahun berbanding mereka yang melakukan dalam tempoh 30 minit atau kurang.

Mereka juga mengatakan satu jam adalah jumlah tempoh paling optimum dalam sehari bagi wanita meluangkan masa dengan melakukan aktiviti fizikal.

Sebanyak 39 peratus lelaki yang melakukan aktiviti fizikal selama 90 minit sehari pula mampu mencapai usia 90 tahun berbanding mereka yang melakukan senaman kurang daripada setengah jam

Kajian mendapati setiap setengah jam tempoh masa tambahan dalam aktiviti fizikal sehari mampu meningkatkan sehingga lima peratus peluang untuk lelaki mencapai 90 tahun.

Penyelidik mengakui kajian itu adalah berdasarkan kepada pemerhatian kerana maklumat itu disediakan oleh peserta kajian NLCS yang dikumpulkan oleh saintis itu sendiri.

Faktor lain menyumbang kepada jangka hayat individu juga bergantung kepada gaya hidup mereka, iaitu sama ada mereka seorang perokok atau mengambil minuman beralkohol.

Faedah aktiviti fizikal:-

  • Mengurangkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, osteoporosis, diabetes, kanser dan obesiti.
  •  Menjaga sendi, tendon dan ligamen anjal
  •  Menguatkan tulang dan otot.
  •  Mengurangkan beberapa kesan penuaan.
  •  Membantu mengurangkan ketegangan dan kegelisahan.
  •  Menambah baik kesihatan mental dan mood.
  •  Meningkatkan tenaga dan ketahanan.
  •  Membantu tidur nyenyak
  •  Mencegah obesiti

Antara aktiviti fizikal

  •  Mulakan berjalan 10 minit, kemudian berjogging
  •  Selepas 30 minit lakukan aktiviti sederhana cukup seminggu sekali.
  •  Tiga atau empat aktiviti aerobik setiap minggu.
  •  50 hingga 85 peratus kadar maksima jantung (kadar sasaran jantung) untuk sesi 30 hingga 40 minit.
  •  Berbasikal
  •  Angkat berat
  •  Senaman erobik berintensiti tinggi

Sumber : Berita Harian

710 total views, 1 views today

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here