Cara Solat Jama’ Taqdim Dan Ta’khir Yang Betul Dari Jakim

0
1590

Solat Jama’ Taqdim dan Ta’khir merupakan rukhsah (keringanan) yang diberikan khusus kepada umat Islam yang bermusafir dalam tempoh tertentu dengan syarat tertentu. Meskipun begitu, masih ramai umat islam yang keliru, atau tidak tahu cara yang betul untuk menunaikannya. Oleh itu, perkongsian kali ini adalah untuk memberi penerangan dan pencerahan berkenaan cara yang tepat dalam menunaikan solat jama’ taqdim dan ta’khir yang dikeluarkan oleh JAKIM.

APA ITU SOLAT JAMA’?

Menurut JAKIM, takrifan solat jama’ terbahagi kepada dua, iaitu:

  1. Jama’ Taqdim iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Zuhur atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Maghrib.
  2. Jama’ Ta’khir iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Asar atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Isya’.

 

APAKAH SYARAT SOLAT JAMA’?

UNTUK SOLAT JAMA’ TAQDIM:

  1. Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat Zuhur daripada solat Asar dan solat Maghrib daripada solat Isya’.
  2. Hendaklah niat Jama’ Taqdim di dalam solat pertama sebelum salam tetapi yang afdhalnya di dalam takbiratul ihram.
  3. Berturut-turut di antara solat yang dijama’kan itu.
  4. Berkekalan pelayaran atau perjalanan itu hingga takbiratul ihram solat yang kedua.
  5. Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur atau Maghrib) berkekalan sehingga didirikan solat yang kedua (Asar atau Isya’).

 

UNTUK SOLAT JAMA’ TA’KHIR:

  1. Hendaklah berniat jama’ dalam waktu pertama iaitu Zuhur atau Maghrib.
  2. Berkekalan pelayaran atau perjalanan hingga memberi salam solat yang kedua.

 

BAGAIMANA CARA DAN CONTOH NIAT SOLAT JAMA’?

UNTUK JAMA’ TAQDIM:

  1. Jama’ Taqdim Empat Rakaat

أصلي فرض الظهر أربع ركعات مجموعا إليه العصر أداء لله تعالى

(Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)

 

  1. Niat Jama’ Taqdim Beserta Qasar

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر أداء لله تعالى

(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)

 

UNTUK JAMA’ TA’KHIR:

  1. Jama’ Ta’khir Empat Rakaat

أصلي فرض الظهر أربع ركعات مجموعا إلى العصر أداء لله تعالى

(Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah)

 

  1. Niat Jama’ Ta’khir Beserta Qasar

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إلى العصر أداء لله تعالى

(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah)

 

Untuk menghimpunkan dan memendekkan rakaat solat, baca panduan solat jamak qasar yang betul. Harus diingat, yang dibolehkan hanya solat Zohor dengan Asar, dan Maghrib dengan Isya’ sahaja.

Walaubagaimanapun, jika hanya ingin memendekkan solat yang empat rakaat iaitu Zuhur, Asar dan Isya’, ikuti panduan solat qasar dari JAKIM.

Sebagai penutup, kami berharap artikel ini dapat membantu kita semua dalam melakukan ibadah walau di mana kita berada. Bermusafir bukan kredit untuk kita mengabaikan ibadah solat, semoga perjalanan kita mendapat keredhaan Allah’

1,199 total views, 1 views today

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here