Filem Polis Evo 2 tiada sebarang mesej penghinaan terhadap Islam – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

0
1593

Baru- baru ini kita digemparkan dengan Filem Polis Evo 2 yang seolah-olah ingin menyampaikan mesej penghinaan terhadap Islam. Beberapa watak antagonis dan babak yang dilakonkan sedikit sebanyak menarik perhatian masyarakat Islam sehingga menyifatkan bahawa filem itu boleh dikategorikan sebagai satu filem yang boleh menjatuhkan imej Islam.

Walaubagaimanapun, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan kenyataan bahawa

“Secara umumnya, kami berpandangan filem ini tidak mengandungi sebarang mesej penghinaan kepada Islam. Sebaliknya lebih mengenengahkan fahaman fanatik sesat yang memberi ancaman kepada negara. Polis Evo 2 cuba membangkitkan naratif jihad yang sebenar melawan psuedo-jihad. Watak antagonis seperti Hafsyam (Hasnul Rahmat) tidaklah menampakkan beliau sebagai seorang pengganas atas nama Islam secara mutlak kerana tidak ada dialog atau babak yang klise dalam menggambarkan teroris atas nama agama seperti bertakbir dan menggunakan apa-apa ayat al-Qur’an atau hadis.

Begitu juga, tidak ada langsung padanya ciri-ciri yang sering dibayangkan pada sosok pengganas atas nama agama dalam filem-filem Barat seperti berjambang, ucapan yang penuh dengan nukilan dalil, konsisten dengan ibadah dan lain-lain. Watak Hafsyam digambarkan sebagai pemimpin ajaran sesat yang tegar merokok, mengedar dadah, kejam, akhlak bermasalah, tidak ada langsung babak solat dan lain-lain babak yang boleh menguatkan keyakinan kita bahawa beliau adalah benar-benar seorang pengganas atas nama agama.

“Kalau Aku Ahli Neraka, Kenapa Tuhan Takdirkan Aku Berdiri dan Engkau Melutut Depan Aku?!”

Kenyataan di atas adalah apa yang dilontarkan oleh watak antagonis Hafsyam ketika mana berhadapan dengan Inspektor Sani (Zizan Razak).

Idea dalam kenyataan di atas, tidak dijelaskan dengan terperinci sehingga selesai filem. Ianya hanya disampaikan dalam bentuk subteks di akhir jalan cerita dan mungkin tidak dapat dikesan oleh sebilangan besar penonton. Kesannya, ia boleh menimbulkan syubhat dalam isu keadilan Allah, juga konsep iman kepada qadha dan qadar. Dalam kerangka yang lebih besar, ia melibatkan isu permasalahan kejahatan atau mushkilat al-shar (the problem of evil) yang sering dibangkitkan oleh kelompok Ateis dan juga Agnostik ”

Begitulah sedikit sebanyak ulasan yang telah diberikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Walaubagaimanpun, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyarankan beberapa saranan kepada pihak produksi antaranya:

  1. Melantik konsultan Syariah agar perjalanan satu-satu filem yang membawakan tema sebegini, dapat mengelakkan sebarang isu-isu sensitif melibatkan agama.
  2. Rujukan kepada konsultan Syariah dilakukan sejak dari awal pembikinan skrip sehinggalah selesai penggambaran keseluruhan filem.
  3. Meletakkan penjelasan pada awal filem atau pada addendum berkenaan kesamaran dalam jalan cerita.

rujukan: Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

819 total views, 1 views today

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here