Halusinasi : Adakah ia Penyakit Gila?

0
350

Maksud Halusinasi

Sebelum bahtera kita layarkan terlalu jauh, molek kiranya kita berkenalan terlebih dahulu dengan penyakit ini.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, halusinasi bermaksud pengalaman seolah-olah dapat melihat, mendengar, atau menyentuh sesuatu yang sebenarnya tidak wujud akibat gangguan kesihatan (fikiran).

Menurut English Oxford Dictionary, halusinasi atau hallucination ditakrifkan sebagai An experience involving the apparent perception of something not present. Iaitu  pengalaman yang melibatkan kemunculan sesuatu yang sebenarnya tidak wujud.

Ia berasal dari perkataan latin hallūcinātus yang bermaksud apa yang berlegar di minda.

Di dalam bahasa Arab moden pula ianya disebut sebagai هَلوَسَة yang berasal dari kata kerja هَلْوَسَ yang membawa makna mengkhayalkan sesuatu disebabkan oleh dadah atau penyakit. Perkataan ini tidak pernah direkodkan dalam mana-mana kamus klasik melainkan di dalam kamus Lisan al-Arab. Iaitu perkataan  هلس yang bermaksud mengkhayalkan.

Rujuk Lisan al-Arab (6/249)

Halusinasi juga dikenali sebagai skezofrenia. Dalam kata lain ia adalah penyakit mental yang teruk menyebabkan pesakit tidak dapat membezakan dunia realiti dan alam fantasi mereka. Antara ciri utama penyakit ini boleh diibaratkan sebagai “Mereka tidak berpijak di bumi yang nyata”, mereka mungkin dapat melihat, mendengar dan merasa akan tetapi apa yang dilihat, didengar dan dirasa itu sebenarnya tidak wujud di alam yang nyata. Rentetan itu, hal ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada penghidap penyakit ini dari segi tingkah laku mereka. Penyakit ini wujud sejak beratus tahun namun ianya dikesan sebagai penyakit mental pada tahun 1887 oleh Dr Emelin Kreaplin.

Punca Halusinasi

Penyakit halusinasi ini dipengaruhi oleh beberapa faktor antaranya:

  1. Gangguan jiwa seperti kemurungan, demensia dan gejala psikosis.
  2. Gangguan saraf otak seperti Parkinson, Delirium, Epilepsi dan Alzheimer.
  3. Pengambilan dadah secara berlebihan.
  4. Gangguan tidur seperti Narkolepsi.

Menurut Pusat Perubatan Darul Syifa’, penyakit ini juga boleh dikatakan berpunca daripada gangguan makhluk halus. Tanda-tanda ini dapat dikenalpasti seperti pesakit mendakwa terdapat bisikan-bisikan tertentu yang mengganggu dan seolah-olah menyuruh mereka melakukan sesuatu sehinggakan mereka bertindak di luar kawalan.

JENIS-JENIS HALUSINASI

  1. Halusinasi pendengaran iaitu seseorang itu mendengar suara yang pada hakikatnya tiada seorang pun yang mendengar suara tersebut melainkan si penghidap. Contohnya seseorang itu mendengar suara bisikan yang menyuruhnya melakukan sesuatu akan tetapi suara itu hanya boleh didengari oleh si penghidap tanpa didengari oleh orang lain.
  2. Delusi kawalan iaitu seseorang percaya bahawa ada yang mengawalnya dan setiap tindak tanduk yang gagal dikawal adalah berpunca dari kawalan ‘seseorang’.
  3. Delusi mania erotik iaitu si penghidap percaya seseorang yang terkenal berkawan atau bercinta dengannya.
  4. Delusi bersalah dan berdosa iaitu seseorang percaya dirinya telah melakukan kesalahan dan perlu menghukum dirinya di atas kesalahannya itu.
  5. Pemasukan pemikiran iaitu apabila seseorang percaya orang lain mampu memasukkan pemikiran meraka ke dalam mindanya. Contoh dia percaya bahawa apa yang ada dalam pemikirannya adalah merupakan pemikiran orang lain.
  6. Halusinasi penglihatan iaitu seseorang dapat melihat sesuatu objek atau bayangan dengan jelas di mana ianya tidak boleh dilihat oleh orang lain. Seperti contoh, seseorang mendakwa melihat ular walhal itu adalah tali.

Maka dapat kita fahami, bahawa penyakit ini adalah cabang dari penyakit mental dan ia adalah penyakit yang amat memerlukan perhatian ramai. Menurut Professor Bersekutu Psikiatari, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr Ng Chong Guan, kira-kira 30 peratus rakyat Malaysia merupakan penghidap penyakit mental dan wanita adalah yang paling tinggi peratusannya mendapat penyakit ini daripada lelaki. Ujar beliau lagi, dalam masa 10 tahun, peratusan yang akan mendapat penyakit ini akan meningkat sekali ganda dalam masa 10 tahun. Ini bermakna seramai 4.2 juta rakyat Malaysia menghidap penyakit ini. Hal ini amat membimbangkan kerana jika tiada inisiatif di ambil untuk merawat penyakit ini, sudah tentu 20 tahun atau 30 tahun akan datang kadar penyakit ini meningkat.

Menurut Pensyarah Kanan dan Psikiatari Fakulti Perubatan dan Sains Perubatan Universiti Putra Malaysia, Dr Michael Ang Jin Kiat, penyakit ini akan membawa kepada penyakit mental yang sangat serius jika tidak mendapat rawatan lanjut.

Adakah Halusinasi Penyakit Gila?

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan, kebiasaannya penyakit skezofrenia akan bermula pada usia remaja atau awal dewasa. Namun adakah penyakit ini sama dengan apa yang sering disebut sebagai gila?

Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan bahawa skezofrenia ini adalah sejenis penyakit mental(gila).

Penyakit halunisasi atau skezofrenia ini adalah satu penyakit mental yang kronik. Akan tetapi penyakit ini boleh dirawat. Menurut pakar perunding Psikiatri Universiti Perubatan Malaysia, Dr Shane Varman, penyakit ini boleh dirawat melalui ujian psikososial dan mengambil ubat-ubatan.

Dengan penjelasan ini, maka boleh kita katakan bahawa penyakit halusinasi atau Skezofrenia ini adalah sejenis penyakit mental yang bersifat sementara bukannya bersifat kekal.

Para fuqaha dan usuliyyun mentakrifkan gila atau penyakit mental sebagai

“Kecelaruan akal sehingga menghalang kebolehfungsian perlakuan atau percakapan mengikut cara yang betul.”

Rujuk Mausu’ah al-Fiqhiyah (16/99)

Ini kerana, para ulama membahagikan gila kepada dua jenis. Yang panjang gilanya iaitu yang dinamakan asli ataupun Mutbiq dan juga yang sementara gilanya yang boleh disembuhkan dengan ubat-ubatan dan rawatan-rawatan. Ini dinamakan ‘Arid atau ghair Mutbiq.

Rujuk Mausu’ah al-Fiqhiyah (16/101).

Dengan hal demikian, maka pada keadaan dia berhalusinasi maka dia tidak dianggap waras. Dan tiada apa-apa hukum dikenakan ke atasnya pada ketika itu. Ini berdasarkan hadis Nabi Muhammad s.a.w yang diriwayatkan oleh  Aisyah r.a

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثٍ عَنْ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنْ الصَّغِيرِ حَتَّى يَكْبُرَ وَعَنْ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ أَوْ يُفِيقَ

Maksudnya :” Diangkat pena pada tiga golongan iaitu orang yang tidur sehingga terjaga , anak kecil sehingga dia besar dan orang gila sehingga dia berakal atau sedar.”

Riwayat al-Nasaie  (3432)

Imam al-San’ani telah mensyarahkan, yang dimaksudkan dengan sabda Nabi saw “dan orang gila sehingga dia berakal atau sedar”  adalah tidak diambil tindakan ke atasnya.”

Rujuk Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram (16/20)

Sheikh Abdullah al-Tayyar menyatakan :

“Yang dimaksudkan dalam hadis tersebut ialah tidak ditulis baginya dosa. Ini kerana pada ketika itu, dia tidak dianggap sebagai mukallaf.”

Rujuk Wabal al-Ghumamah Syarh Umdah al-Fiqh Li Ibn al-Qudamah(9/9)

 

rujukan : Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

 

1,040 total views, 3 views today

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here